Subuh
5:58
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:40
Maghrib
7:22
Isyak
8:33

Enam Dewan Undangan belum bubar

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Enam Dewan Undangan belum bubar

Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kekal pendirian tidak bubar dewan
Oct 15, 2022 | 05:30 AM

PUTRAJAYA: Beberapa kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri serentak dengan pembubaran Parlimen.

Pendirian tersebut dibuat walaupun terdapat permintaan daripada pihak Istana di negeri masing-masing untuk membubarkannya.

Ini mungkin kali pertama dalam sejarah Malaysia berada di persimpangan menunggu DUN semenanjung untuk dibubarkan selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Sehingga kini, enam negeri - Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang - mengekalkan pendirian DUN tidak akan dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri tahun ini, serentak dengan pilihan raya parlimen.

Bagaimanapun, keputusan Pulau Pinang yang diperintah Parti Tindakan Demokratik (DAP) masih belum rasmi lagi, kerana pemimpin tertinggi DAP kini berkata Pakatan Harapan (PH) harus memikirkan semula keputusan itu demi kepentingan rakyat.

Semalam menyaksikan DUN Pahang dan Perlis dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pembubaran dilakukan untuk mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, menambah:

"Walaupun DUN sudah dibubarkan, kerajaan negeri masih berfungsi sebagai 'caretaker government' atau kerajaan sementara buat masa ini."

Kelmarin, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tetap teguh untuk tidak membubarkan DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu yang berada di bawah pemerintahannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) PAS yang diadakan kelmarin di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hadi berkata parti itu juga akan memuktamadkan pembahagian kerusi dan mengukuhkan lagi kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN)

"CWC PAS telah memutuskan bahawa ia kekal dengan pendiriannya untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Kita juga telah memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dengan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15, atas prinsip menyatukan ummah.

"Perbincangan mengenai pembahagian kerusi di negeri-negeri akan dimuktamadkan.

"Senarai calon PAS dari negeri-negeri akan disemak oleh Majlis Syura Ulama," kata Datuk Abdul Hadi.

PAS, sebelum pembubaran Parlimen, menyatakan bahawa ia tidak akan membubarkan DUN di bawah pemerintahannya sehingga Mac tahun depan untuk menumpukan persiapan menghadapi banjir semasa musim tengkujuh yang dijangka melanda negeri-negeri itu pada pertengahan November dan Mac tahun depan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan yang menyuarakan agar DUN dibubarkan kerana pilihan raya negeri memerlukan kos yang tinggi untuk diadakan sendiri dan bukannya semasa pilihan raya umum.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata negeri itu terdedah kepada banjir pada akhir tahun ini.

"Biar kerajaan negeri fokus kepada pemulihan ekonomi, persiapan banjir dan membuat dasar baru untuk membantu rakyat miskin.

"Jika tidak, negeri tidak akan dapat membuat dasar baru selepas pembubaran dan kita masih mempunyai banyak agenda untuk dilaksanakan sehingga tamat penggal," katanya selepas mesyuarat itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau akan menumpukan perhatian kepada persiapan banjir dan pemulihan ekonomi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, ketika dihubungi turut mengesahkan DUN itu juga tidak akan dibubarkan.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kelmarin tetapi perkenan untuk membubarkan DUN belum diberikan.

Di Pulau Pinang, PH telah menyatakan ia tidak akan membubarkan DUN tahun ini, tetapi terdapat beberapa perselisihan pendapat dalam kalangan pemimpin parti DAP mengenai keputusan ini.

Majlis Presiden PH masih belum memuktamadkan keputusan itu dengan satu kenyataan rasmi.

Pakar sains politik Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, mencadangkan pilihan raya parlimen dan negeri perlu diadakan serentak bagi mengelak keletihan dalam kalangan pengundi.

"Pengundi akan bosan kerana perlu keluar dua kali untuk mengundi, selain kos dan pengurusan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi lain," kata Dr Sivamurugan.

Pakar undang-undang Perlembagaan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata walaupun ini kali pertama negeri-negeri semenanjung tidak membubarkan dewan mereka secara serentak dengan pembubaran Parlimen, langkah itu mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Pilihan raya negeri dan Persekutuan tidak perlu diadakan serentak.

"Semuanya bergantung kepada tarikh pilihan raya lalu... DUN akan terbubar secara automatik apabila menjangkau lima tahun dari tarikh ia mula bersidang selepas PRU lalu.

"Kebijaksanaan untuk membubarkan adalah tertakluk kepada Duli Yang Teramat Mulia bagi setiap negeri masing-masing," kata Datuk Gopal Sri Ram. - Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3