Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Enam wilayah Indonesia digesa tingkat penguatkuasaan Covid-19

Jakarta, Jawa Barat & Timur, Yogyakarta serta Banten antara yang alami lonjakan jangkitan dalam 4 minggu lalu
Jun 24, 2021 | 5:30 AM
KES MENINGKAT DI INDONESIA: Sebuah kampung di Jakarta sedang menjalani sekatan dan pengasingan pada 22 Jun lalu setelah beberapa penduduknya didedahkan kepada Covid-19. - Foto AFP
KES MENINGKAT DI INDONESIA: Sebuah kampung di Jakarta sedang menjalani sekatan dan pengasingan pada 22 Jun lalu setelah beberapa penduduknya didedahkan kepada Covid-19. - Foto AFP -

JAKARTA: Pasukan petugas Covid-19 Indonesia telah menggesa enam wilayah di Pulau Jawa agar mempertingkat penguatkuasaan pembatasan aktiviti awam skala kecil (Mikro PPKM) berikutan peningkatan kes dalam empat minggu lalu.

"Menurut arahan Presiden, ketua pentadbiran daerah, baik di peringkat wilayah atau kabupaten atau kota, khususnya di Pulau Jawa, harus terbiasa mengamati situasi sebenarnya dengan mempelajari data, sehingga tindakan pencegahan dapat segera diambil," kata penyelaras pasukan pakar dan jurucakap Pasukan Petugas Respons Covid-19, Wiku Adisasmito, dalam satu kenyataan media kelmarin.

Gesaan itu dilakukan menyusuli lonjakan jangkitan dalam empat minggu lalu, dengan beberapa wilayah di Kepulauan Jawa muncul sebagai penyumbang terbesar terhadap peningkatan kes di Indonesia - Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur, Yogyakarta dan Banten, katanya.

Encik Adisasmito meminta pemerintah daerah menggunakan data untuk melakar dasar respons Covid-19 agar dasar tersebut mampu mengekang penyebaran jangkitan dengan berkesan.

Berdasarkan data yang dikumpulkan pada Ahad lalu, enam wilayah di Pulau Jawa mencatatkan peningkatan kes tertinggi, termasuk Jakarta, di mana kes melonjak 387 peratus setelah 20,634 lagi pesakit diuji positif bagi virus itu.

Kes di Jawa Barat pula naik 115 peratus dengan penambahan 8,382 kes harian. Jawa Tengah mengalami peningkatan 105 peratus dengan 5,896 orang lagi yang positif, sementara jangkitan di Jawa Timur meningkat 174 peratus dengan penambahan 1,852 pesakit.

Kes di Yogyakarta meningkat 197 peratus dengan penambahan 2,583 kes harian, sementara Banten mengalami lonjakan 189 peratus, dengan 967 kes baru disahkan dalam satu hari.

Ini bermakna Indonesia mengalami peningkatan 92 peratus dalam kes mingguan, di peringkat nasional, dalam empat minggu lalu, kata Encik Adisasmito.

"Ini adalah lonjakan yang sangat tinggi dan tidak boleh ditoleransi," katanya.

Peningkatan kes itu telah meningkatkan kadar penggunaan katil di bilik pengasingan hospital rujukan Covid-19, kata Encik Adisasmito lagi.

"Bahkan, kadar penggunaan katil di lima hospital di enam wilayah ini mencapai 80 peratus pada hari Isnin (21 Jun lalu). Hanya Jawa Timur yang mencatat di bawah 80 peratus (kadar penggunaan katil): 66.67 peratus," katanya.

Peningkatan kes positif semestinya menjadi alasan kuat bagi pentadbiran wilayah untuk menilai dasar kawalan pandemik mereka, katanya.

Untuk memastikan keberkesanan dasar kawalan, khususnya PPKM Mikro, semua elemen harus melakukan tugas dan fungsinya secara optimum sehingga pengendalian yang menyeluruh dapat dicapai, kata Encik Adisasmito.

"Pada saat ini, peratusan pos (pengendalian Covid-19) yang dibangun di beberapa wilayah di seluruh Indonesia dianggap rendah. Ini penting untuk diingat bahawa keberkesanan pelaksanaan PPKM Mikro sangat bergantung kepada pembinaan pos sebagai wadah penyelarasan di peringkat kampung," katanya.

Banyak kampung yang belum membina pos itu berpotensi menghadapi rintangan dalam menyelaras pengendalian Covid-19 di peringkat kejiranan, jadi objektif Mikro PPKM tidak akan tercapai, kata Encik Adisasmito.

Oleh itu, pasukan petugas telah mendesak para gabernor, terutama dari enam wilayah yang paling teruk terjejas itu, mengarahkan kepala daerah dan walikota di wilayah mereka agar mengoptimumkan PPKM Mikro, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg