Topik diikuti
Pergi ke BHkuEng Hen hadiri forum pertahanan di AS
MENTERI Pertahanan, Dr Ng Eng Hen telah ke Amerika Syarikat (AS), dari 2 Disember hingga semalam untuk menghadiri Forum Pertahanan Nasional Reagan (RNDF) yang kesembilan.
Diadakan di Simi Valley, California, RNDF menghimpunkan para pemimpin dan pemain utama yang dalam masyarakat pertahanan untuk menangani isu keselamatan negara.
Persidangan tahun ini dihadiri oleh Amerika dan pegawai pertahanan dan keselamatan asing terpilih, termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd J. Austin III, pengarah Perisikan Kebangsaan (DNI), Cik Avril Haines, serta ahli-ahli Kongres Amerika.
Dr Ng bercakap mengenai topik 'Kelebihan Strategik Kami: Kerjasama dengan Sekutu dan Rakan Kongsi' di samping Senator Amerika, Cik Lindsey Graham; Menteri Pertahanan Finland, Encik Antti Kaikkonen, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Palantir Technologies, Dr Alexander C. Karp dan Komander Ketua Pemerintah Selatan AS, Jeneral Laura Richardson.
Dalam ucapan beliau, Dr Ng mengesahkan hubungan pertahanan yang sangat baik dan lama antara Singapura dengan Amerika, terutamanya sokongan Singapura terhadap kehadiran dan penglibatan Amerika di rantau Asia Pasifik.
Beliau menekankan bahawa kehadiran tentera Amerika di Asia-Pasifik adalah satu kuasa penstabilan dan menggesa AS agar melakukan lebih banyak dalam aspek ekonomi.
"Saya rasa kehadiran ketenteraan AS yang meningkat di Asia sebagai kuasa penstabilan adalah baik..
. AS harus lakukan lebih usaha untuk tambah penglibatan seperti yang dilakukan sebelum ini, untuk membina rangka kerja ekonomi yang memanfaati semua pihak."
Di samping RNDF, Dr Ng juga mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala dengan Setiausaha Tentera Udara AS, Encik Frank Kendall, Komander Perintah Indo-Pasifik AS, Laksamana John Aquilino, Komander Komand Siber AS dan pengarah Agensi Keselamatan Negara Amerika, Jeneral Paul M. Nakasone dan bekas Setiausaha Pertahanan AS Encik Mark Esper.
Dr Ng juga bertemu dengan mantan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Leon Panetta, serta ahli kongres dari Dewan Amerika dan Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat.
