Erdogan: Saya bukan diktator

ANKARA (Turkey): Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan rancangannya mendapatkan mandat rakyat bagi meluaskan kuasa presiden tidak akan menjadikannya sebagai seorang diktator.

Dalam satu wawancara dengan badan penyiaran Amerika, CNN, yang disiarkan hari ini, Encik Erdogan ditukil sebagai menyatakan bahawa pakej pembaharuan perlembagaan - yang mendapat sokongan tipis majoriti pengundi Turkey dalam pungutan suara Ahad lalu - bukanlah mengenai dirinya.

"Saya hanya manusia biasa. Saya boleh mati bila-bila," katanya.

Rakyat Turkey pada Ahad lalu telah meluluskan pindaan perlembagaan bagi 18 perkara yang akan merubah sistem berparlimen negara itu kepada kuasa eksekutif presiden.

Rancangan itu, yang diusulkan oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), memberi Encik Erdogan kuasa yang luas dalam mentadbir negara itu.

Beliau semasa wawancara itu menolak dakwaan bahawa beliau menyokong kuasa baru yang ada padanya sekarang sebagai satu cara untuk meluaskan kuasa dirinya sendiri berbanding usaha meningkatkan sistem politik Turkey.

"Sistem ini mewakili satu perubahan, satu pembaharuan dalam sejarak demokratik Turkey," katanya.

Di bawah pindaan perlembagaan, Encik Erdogan akan berupaya meniadakan jawatan Perdana Menteri dan berkuasa menerusi dikri.

Ini akan membolehkannya melantik kabinet dan hakim kanan.

Kuasa Parlimen bagi meneliti undang-undang akan dibendung.

Encik Erdogan telahpun merubah pejabatnya menjadi pangkalan kuasa yang utuh, mematahkan bantahan yang kian meningkat selepas percubaan kudeta tahun lalu.

Lebih 47,000 orang telah diberkas sejak berakhirnya kudeta tersebut, dengan hampir 200 wartawan kini dipenjarakan.

Encik Erdogan menafikan dakwaan bahawa reformasi yang baru ini adalah satu langkah menjadikan beliau seorang diktator.

"Di mana lahirnya diktator, anda tidak akan mempunyai sistem presiden.

"Di sini kita ada peti undi... demokrasi mendapat kuasanya daripada rakyat. Itu yang dinamakan sebagai kesediaan nasional," jelasnya.

Dalam pungutan suara Ahad lalu, majoriti yang menyatakan 'Ya' adalah sangat tipis. Meskipun adanya perintah darurat dan langkah mengekang bantahan, Encik Erdogan berjaya mendapatkan sokongan 51.4 peratus pengundi untuk menyokong pindaan perlembagaan itu.

Semasa wawancara itu, Encik Erdogan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk meredakan ketegangan yang dihadapinya.

Memberi contoh sebuah perlawanan bola sepak, Encik Erdogan berkata, menang tetap menang.

" Saya datang dari latar belakang bola sepak. Tak kiralah sama ada anda menang 1-0 atau 5-0. Matlamat utama adalah untuk menang perlawanan."

Kenyataan beliau itu tentunya tidak diterima parti-parti pembangkang, yang mahu mencabar keputusan pungutan suara itu.

Kelmarin (17 Apr), pemerhati antarabangsa mengemukakan kenyataan yang teruk berhubung pelaksanaan pungutan suara di Turkey.

Wakil dari pelbagai badan antarabangsa berkata, ia dijalankan "dalam keadaan yang tidak seimbang" dengan kempen "Ya" meraih liputan meluas media.

Encik Erdogan menyanggah dapatan awal pemerhati antarabangsa itu dengan memberitahu mereka agar "sedar diri", lapor Reuters.

Beliau turut mengecam Kesatuan Eropah (EU), yang menolak sokongannya terhadap hukuman mati dan keprihatinan mereka tentang cara pungutan suara itu diadakan.

Menyentuh tentang kegagalan Turkey menganggotai Kesatuan Eropah, Encik Erdogan meuduh anggota kesatuan itu sebagai tidak memenuhi janji mereka.

"EU membuat kita menunggu di depan pintu selama 54 tahun lamanya," katanya kepada CNN.

"Dari sudut pandangan hubungan politik, ia tidak boleh diterima. Kami telah bekerja keras untuk menerima kesemua yang diperlukan EU... EU tidak memenuhi janji mereka... Kesatuan Eropah harus memenuhi janji mereka," ujarnya. - CNN, Reuters