Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eropah buka sempadan kepada penduduk AS

Jun 23, 2021 | 5:30 AM
b461b61a-8982-41f4-9250-4760172168de
-

WASHINGTON: Sedang kes Covid-19 terus menurun di Barat, Eropah mula membuka sempadannya kepada penduduk Amerika Syarikat, tetapi Amerika pula tidak mengubah sekatan perjalanannya yang diambil 15 bulan lalu.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah memuji kemajuan dalam vaksinasi negaranya, dengan tujuan mencapai 70 peratus penduduk Amerika dengan sekurang-kurangnya satu dos pada 4 Julai.

Ini di samping pihak berkuasa kesihatan melonggarkan peraturan mengenai pelitup, namun isu berkaitan larangan perjalanan belum berubah.

"Kami mengharapkan perjalanan semula transatlantik secepat yang diizinkan oleh sains," kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price kelmarin.

"Saya tidak dapat menetapkan jangka waktu tertentu mengenainya, hanya kerana sebahagian besarnya akan bergantung pada perkembangan epidemiologi, pada tindak balas terhadap virus di seluruh dunia, dan perkembangan lain termasuk kemunculan dan kesan varian," katanya.

Encik Biden telah berjanji mahu memulihkan hubungan dengan sekutunya setelah zaman Presiden Donald Trump yang bergolak.

Minggu lalu, Encik Biden berusaha memikat sekutu Eropah dalam perjalanan pertama ke luar negara.

Tetapi beliau telah menjelaskan tidak akan terburu-buru dalam isu perjalanan dan pelancongan, dengan pemerintahannya melanjutkan hingga 21 Julai penutupan sempadan darat dengan Canada dan Mexico.

Semasa awal penularan wabak itu, Amerika melarang perjalanan bagi kebanyakan pengunjung yang datang dari Kesatuan Eropah (EU) dan Britain, bersama dengan Brazil, China, India, Iran dan Afrika Selatan.

Namun Encik Biden telah membenarkan pengecualian bagi senarai semakin meningkat, dengan wartawan, pelajar dan golongan lain dibenarkan melakukan perjalanan walaupun terdapat sekatan buat pelancong biasa.

Sebaliknya, EU telah memutuskan untuk membuka semula sempadannya kepada penduduk Amerika dengan syarat mereka diberi vaksin sepenuhnya atau menunjukkan hasil ujian negatif Covid-19.

"Kami harap dapat mencari jalan penyelesaian serupa dalam semangat timbal balik perjalanan dari Jerman dan EU ke Amerika!" tulis duta besar Jerman ke Amerika, Emily Haber, di Twitter.

Namun EU membuka semula sempadan bukan setelah merundingkan timbal balik dengan Amerika, tetapi kerana di bawah tekanan dari negara anggota yang bergantung pada pelancongan seperti Greece, Italy dan Sepanyol yang ingin merancakkan semula industri yang terjejas teruk oleh wabak tersebut.

Di Amerika pula tidak ada tekanan sama untuk menerima masuk pelancong asing, walaupun syarikat penerbangan dan pemain lain dalam industri pelancongan telah menyuarakan sokongan bagi dilonggarkan sekatan perjalanan dengan media The Wall Street Journal pula, dalam satu editorial baru-baru ini, mengatakan tidak ada alasan untuk tidak membalas keputusan Eropah membuka semula sempadan. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg