BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EC) bakal mengumumkan rancangan bernilai 210 bilion euro ($306 bilion) tentang bagaimana negara Eropah boleh menamatkan pergantungan mereka terhadap bahan api fosil Russia menjelang 2027, selain mempercepatkan peralihannya kepada tenaga hijau.
Pencerobohan Ukraine oleh Russia, pembekal utama gas ke Eropah, telah mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk memikirkan semula dasar tenaganya di tengah-tengah kebimbangan mengenai kejutan bekalan bahan tenaga.
Russia membekalkan 40 peratus gas kepada blok itu dan 27 peratus minyak importnya, dengan negara EU sedang bergelut untuk bersetuju dengan sekatan ke atas kedua-dua bahan tenaga itu.
Untuk mengurangkan kebergantungan negara EU kepada bahan tenaga dari Russia itu, Brussels akan mencadangkan pelan serampang tiga mata: peralihan kepada mengimport lebih banyak gas bukan Russia; peralihan tenaga boleh diperbaharui yang lebih pantas; serta lebih banyak usaha menjimatkan tenaga, menurut draf dokumen yang dilihat agensi berita Reuters.
Langkah itu juga termasuk gabungan undang-undang EU, skim tidak terikat dan cadangan yang boleh diambil pemerintah masing-masing.
Secara keseluruhan, negara EU menjangka mereka memerlukan 210 bilion euro dalam pelaburan tambahan - dengan EU merancang mendapatkannya melalui pembebasan lebih banyak dana daripada program pemulihan Covid-19, dan yang akhirnya akan mengurangkan berbilion euro yang dibelanjakan negara Eropah bagi import bahan api fosil setiap tahun.
Pelan itu menggariskan lonjakan import jangka pendek bagi bekalan gas bukan Russia, dengan adanya potensi untuk meningkatkan import gas asli cecair daripada negara termasuk Mesir, Israel dan Nigeria, serta prasarana yang diperlukan untuk beralih daripada Russia.
Tambahan, permintaan gas Eropah dijangka merosot kira-kira satu pertiga menjelang 2030 di bawah sasaran EU untuk memerangi perubahan iklim, dan cadangan itu dijangka menggariskan matlamat untuk menghasilkan 10 juta tan hidrogen boleh diperbaharui menjelang 2030 dan mengimport 10 juta tan lagi - yang boleh digunakan untuk menggantikan gas dalam industri.
Bahagian lain pakej itu termasuk undang-undang dinaik taraf yang menawarkan permit yang lebih mudah diperolehi bagi beberapa projek tenaga angin dan solar, untuk mengurangkan kelewatan pemberian permit yang sebelumnya telah membantutkan projek seperti itu.
Skim EU baru untuk melancarkan projek tenaga suria berskala besar juga akan bantu mengurangkan kuasa bahan api gas dan pemanasan di rumah, pejabat dan kilang, dengan menghendaki anggota negara memasang tenaga suria di semua bangunan awam baru mulai 2025.
Sebelum ini, presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata adalah mustahil bagi sesetengah negara Eropah untuk segera mengetepikan sepenuhnya bekalan minyak dari Russia, seperti yang dicadangkan EU.
Beliau berkata dengan mengambil langkah itu, Eropah berisiko membayar harga bahan tenaga paling mahal di dunia dalam jangka panjang, manakala daya saing industrinya akan terjejas. - Reuters.