Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Eropah rancang sekatan baru ke atas Russia
Ukraine beri amaran lebih banyak kematian mungkin terbongkar
AS, Eropah rancang sekatan baru ke atas Russia
LVIV (Ukraine): Amerika Syarikat dan Eropah sedang merancang sekatan baru untuk menghukum Moscow atas pembunuhan orang awam di Ukraine, dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, memberi amaran lebih banyak kematian mungkin terbongkar di kawasan yang dikuasai semula daripada penceroboh Russia.
Tentera Russia berundur dari beberapa bandar di utara ibu kota Kyiv minggu lalu sedang ia dikatakan mengubah serangannya ke selatan dan timur Ukraine.
Tentera Ukraine menawan semula bandar-bandar yang musnah akibat perang selama hampir enam minggu, termasuk Bucha, di mana orang awam yang maut kelihatan di merata jalan.
Gambar kubur besar-besaran di Bucha dan mayat orang yang diikat dan ditembak dari jarak dekat menimbulkan bantahan antarabangsa sejak beberapa hari lalu.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menggesa diadakan perbicaraan jenayah perang terhadap Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dengan Washington, Jerman dan Perancis berjanji sekatan baru terhadap Moscow.
Russia pula menafikan sebarang tuduhan berkaitan pembunuhan orang awam dan berkata ia akan mengemukakan "bukti" pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual semalam yang membuktikan tenteranya tidak terlibat.
Dalam satu ucapan video, Encik Zelensky berkata beliau juga akan berucap kepada Majlis Keselamatan semalam untuk memohon sokongan diadakan siasatan bagi kejadian pembunuhan beramai-ramai di Bucha.
"Dan ini baru satu bandar. Salah satu daripada banyak bandar Ukraine yang ditawan oleh tentera Russia," kata Encik Zelensky.
"Kini, terdapat maklumat bahawa di Borodyanka dan beberapa bandar Ukraine lain yang telah dibebaskan semula, jumlah korban yang dilakukan penjajah mungkin lebih tinggi lagi," tambahnya, merujuk kepada sebuah bandar 25 kilometer ke barat Bucha.
Amerika berkata ia akan mendesak supaya keanggotaan Russia di Majlis Hak Asasi Manusia PBB digantung ekoran pembunuhan di Bucha, menggelar penyertaan Moscow dalam majlis itu sebagai "satu kepura-puraan".
Menteri Luar Ukraine, Encik Dmytro Kuleba, berkata beliau bercakap dengan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengenai Bucha dan menegaskan "bahawa Ukraine akan menggunakan semua mekanisme PBB yang ada untuk mengumpul bukti dan mempertanggungjawabkan penjenayah perang Russia".
Tentera Russia berundur dari kawasan utara ibu kota Kyiv setelah menghadapi penentangan kuat Ukraine yang menggunakan senjata antikereta kebal negara Barat.
Moscow mendakwa pengunduran itu sebagai tanda muhibah bagi rundingan damai, yang kali terakhir diadakan Jumaat lalu.
Perunding dijadualkan berunding semula kelmarin, tetapi kedua-dua pihak tidak memberi maklumat terkini mengenai rundingan itu.
Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, kelmarin berkata Encik Putin dan penyokongnya akan "merasakan akibat" peristiwa di Bucha dan sekutu Barat bersetuju dengan sekatan lanjut terhadap Moscow dalam beberapa hari mendatang.
Penasihat keselamatan Amerika, Encik Jake Sullivan, berkata sekatan baru negaranya terhadap Moscow akan diumumkan minggu ini.
Jabatan Negara Amerika menyatakan ia menyokong pasukan pendakwa antarabangsa dan pakar untuk mengumpul dan menganalisis bukti kekejaman di Bucha.
Menteri Pertahanan Jerman, Cik Christine Lambrecht, pula berkata Kesatuan Eropah (EU) mesti membincangkan larangan import gas Russia, walaupun pegawai lain menggesa agar berhati-hati terhadap langkah yang boleh menyebabkan krisis tenaga di Eropah.
Ukraine berkata ia sedang bersiap sedia, sedang kira-kira 60,000 pasukan simpanan Russia dikatakan dikerah untuk mengukuhkan serangan Moscow di timur, di mana terletaknya sasaran utama Russia termasuk pelabuhan Mariupol dan Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine. - Reuters.