GENEVA: Mulai 1 Jun lalu, varian Covid-19 akan dikenali menerusi penggunaan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan stigma pandemik itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia akan menghentikan amalan mengenali varian koronavirus mengikut negara ia mula ditemui.
Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Cik Maria Van Kerkhove, berkata sistem baharu itu membabitkan varian yang membimbangkan dunia sekarang - terutama empat yang kini berleluasa, dan varian peringkat kedua yang kini sedang dikesan.
"Ia tidak akan menggantikan nama saintifik sedia ada, sebaliknya bertujuan memudahkan perbincangan umum.
Di bawah sistem baharu itu, empat varian membimbangkan diberi nama baru. Untuk varian B.1.1.7 Britain ia akan dikenali sebagai 'Alpha' manakala varian Afrika Selatan B.1.351 adalah 'Beta' sementara varian P.1 Brazil akan dicatatkan sebagai 'Gamma'.
Sementara itu, Varian B.1.617 India yang diasingkan kepada dua kategori, dengan the B.1.617.2 selaku varian membimbangkan, akan disebut sebagai 'Delta' sedang varian B.1.617.1 pula 'Kappa'.
Selain perubahan nama-nama berkenaan, terdapat dua lagi nama saintifik bagi setiap mutasi manakala tempat penemuan juga digunakan bagi mengenal pasti varian sama. Sebagai contoh, di Britain, apa yang disebut sebagai varian Britain di negara lain, akan dikenali sebagai 'Varian Kent' mengikut nama wilayah ia kali pertama ditemui di tenggara England.
Bagaimanapun, rujukan untuk B.1.1.7.2 masih terus digunakan dalam kalangan masyarakat saintifik kerana ia mengandungi butiran mutasi varian berkenaan.
Lebih 2.9 bilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada penduduk di seluruh dunia, dengan China mendahului di tempat teratas berdasarkan jumlah global iaitu lebih 744.4 juta dos suntikan, diikuti Amerika Syarikat sebanyak 299.1 juta dos suntikan, menurut angka yang dikumpul oleh Our World in Data, kelmarin.
Menurut WHO, meskipun nama saintifik ada kelebihannya ia mungkin sukar diungkapkan atau diingati, sekali gus menjadi punca salah lapor dan kerana itu, "orang ramai cenderung menyebut sesuatu varian mengikut tempat ia ditemui, sekali gus mencetuskan stigma dan diskriminasi. Bagi mengelakkannya dan memudahkan penyampaian kepada umum, WHO menggalakkan pihak berkuasa, media dan pihak berkenaan untuk mengguna pakai nama atau label baharu ini", katanya. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg