LVIV/BERLIN: Kesatuan Eropah (EU) dijangka bersetuju untuk mengenakan sekatan import minyak ke atas Russia "dalam masa beberapa hari", menurut anggota terbesarnya Jerman, sedang Moscow berkata ia melihat hubungan ekonominya berkembang dengan China selepas diasingkan negara Barat ekoran pencerobohan Ukraine.

Pada masa sama, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, memberitahu pemimpin perniagaan global di Davos kelmarin bahawa dunia mesti meningkatkan sekatan terhadap Russia untuk menghalang negara lain daripada menggunakan "kekerasan" untuk mencapai matlamat mereka.

Kebanyakan 27 negara anggota EU sangat bergantung pada baham tenaga Russia, menyebabkan kritikan daripada Kyiv bahawa blok itu tidak bergerak cukup pantas untuk menghentikan bekalan.

Hungary pula berpegang pada tuntutannya bagi pelaburan tenaga sebelum ia bersetuju dengan sekatan sedemikian, bertelagah dengan negara EU lain yang mendesak untuk mendapatkan kelulusan segera.

EU telah menawarkan sehingga 2 bilion euro ($2.94 bilion) kepada sebilangan negara Eropah tengah dan timur yang kekurangan bekalan bahan tenaga bukan Russia.

"Kami akan mencapai persetujuan dalam beberapa hari," kata Menteri Ekonomi Jerman, Encik Robert Habeck, kepada penyiar ZDF.

Suruhanjaya Eropah (EC) dan Amerika Syarikat sedang berusaha secara selari dengan cadangan mahu membataskan harga minyak global, katanya.

"Ia jelas merupakan langkah luar biasa, tetapi ini adalah masa yang luar biasa," kata Encik Habeck.

Pencerobohan Russia selama tiga bulan, serangan terbesar ke atas sebuah negara Eropah sejak 1945, telah menyaksikan lebih 6.5 juta orang melarikan diri ke luar negara, meruntuhkan seluruh bandar, dan mendorong sekatan Barat yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Russia.

Dalam satu petanda simbolik selanjutnya berkaitan pengasingan Russia, syarikat rangkaian kopi Amerika, Starbucks, menjadi jenama Barat terbaru yang mengumumkan ia menarik diri dari Russia.

Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, berkata Kremlin akan menumpukan pada pembangunan hubungan dengan China apabila hubungan ekonomi dengan Amerika dan Eropah terputus.

"Jika mereka (Barat) ingin menawarkan sesuatu dari segi menyambung semula hubungan, maka kami akan menimbangkan dengan serius sama ada kami memerlukannya atau tidak," katanya dalam satu ucapan, menurut transkrip di laman web kementerian luar negara itu.

"Dengan Barat sekarang telah mengambil 'kedudukan diktator', hubungan ekonomi kami dengan China akan berkembang lebih cepat."

Komen itu dikeluarkan sedang presiden Amerika, Encik Joe Biden, melawat Asia, di mana beliau menyatakan akan menggunakan kekerasan untuk mempertahankan Taiwan daripada pencerobohan China - komen yang seolah-olah menjauhi dasar strategik samar-samar Amerika terhadap pulau yang diperintah sendiri.

Sementara itu, di medan perang, Russia sedang cuba mengepung tentera Ukraine dan menawan sepenuhnya wilayah Luhansk dan Donetsk yang membentuk wilayah timur Donbas, dengan Moscow menyokong pasukan pemisah.

Kawasan timur menjadi tumpuannya sejak tentera Russia diusir keluar dari kawasan sekitar ibu kota Kyiv dan utara pada akhir Mac lalu.

Satu ikrar oleh Denmark untuk menghantar peluru berpandu antikapal, Harpoon, dan pelancar peluru berpandu ke Ukraine, yang diumumkan Amerika kelmarin, adalah petanda pertama sejak pencerobohan Russia bahawa Kyiv akan menerima senjata buatan Amerika yang meluaskan lagi jarak serangannya dengan lebih ketara. - Reuters.