BRUSSELS: Pegawai kesihatan Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan perbincangan hari ini mengenai tindak balas yang berselaras dalam menangani lonjakan jangkitan Covid-19 di China, kata Sweden yang menyandang jawatan Presiden EU, kelmarin, selepas perbincangan bulan lalu berakhir tanpa keputusan mengenai perkara tersebut.
Semasa mesyuarat serupa pada 29 Disember lepas, yang diadakan dalam talian di kalangan lebih 100 wakil daripada negara-negara EU, agensi kesihatan EU dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Italy menggesa seluruh EU mengikuti petunjuknya dan menguji pelancong dari China untuk Covid-19, selepas Beijing bersedia untuk menarik balik sekatan perjalanan mulai Khamis ini.
Namun begitu, beberapa negara anggota dari sejumlah 27 dalam EU berkata, mereka tidak perlu berbuat demikian walaupun China memutuskan untuk melonggarkan sekatan sempadan di tengah-tengah gelombang jangkitan bau koronavirus.
"Terdapat mesyuarat Tindak Balas Krisis Politik Bersepadu yang dijadualkan pada Rabu, 4 Januari, untuk kemas kini situasi Covid-19 di China dan untuk membincangkan kemungkinan langkah EU yang akan diambil dengan cara yang diselaraskan," kata seorang jurucakap EU bagi kepresidenan Sweden.
Pesuruhjaya Kesihatan Eropah, Cik Stella Kyriakides, dalam sepucuk surat kepada kerajaan EU pada 29 Disember lalu berkata, mereka harus mempertimbangkan dengan segera meningkatkan jujukan genomik jangkitan Covid-19 dan pemantauan air sisa, termasuk di lapangan terbang, untuk mengesan sebarang varian baru memandangkan lonjakan jangkitan di China. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg