Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EU galakkan negara anggota perkenal ujian saringan ke atas pengunjung dari China

Jan 6, 2023 | 5:30 AM
MAKLUMKAN LANGKAH KAWALAN: Petugas dari Khidmat Kesihatan Perbandaran Belanda berada di lapangan terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda, bagi mengagihkan alat ujian Covid-19 secara percuma kepada pengembara yang tiba dari China, kelmarin. - Foto AFP
MAKLUMKAN LANGKAH KAWALAN: Petugas dari Khidmat Kesihatan Perbandaran Belanda berada di lapangan terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda, bagi mengagihkan alat ujian Covid-19 secara percuma kepada pengembara yang tiba dari China, kelmarin. - Foto AFP -

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) 'amat menggalakkan' negara anggotanya melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pengembara dari China sebelum berlepas dan menaiki pesawat.

Menyatakan demikian kelmarin, EU bagaimanapun akur bahawa tindakan sedemikian boleh menimbulkan kemarahan Beijing, yang sebelum ini sudah pun mengkritik industri penerbangan sedunia kerana menyasarkan pengembara dari negara itu.

Bagaimanapun, hasil perbincangan selama seminggu antara pakar kesihatan EU, ia bersetuju bahawa kesemua 27 negara anggota perlu memperketat saringan tetapi tidak mengenakan sekatan perjalanan seperti yang dilaksanakan Italy, Perancis dan Sepanyol pada peringkat nasional.

China menolak sekeras-kerasnya tindakan itu dan memberi amaran mengenai 'tindak balas' sekiranya dasar berkenaan dikenakan di seluruh blok EU.

Presiden EU dalam kenyataannya, berkata negara anggota "bersetuju dengan pendekatan berjaga-jaga yang disyorkan".

Perkara penting dalam kenyataan itu menegaskan "negara anggota amat digalakkan untuk menjalankan ujian Covid-19 bagi semua penumpang dari China".

Berhubung isu lain, EU berkata terdapat persetujuan penuh untuk meminta penumpang memakai pelitup muka ketika melakukan perjalanan pergi dan balik dari China serta menawarkan nasihat mengenai kebersihan diri selain isu kesihatan.

Awal pagi semalam, jurucakap Suruhanjaya EU, Encik Tim McPhie, berkata "majoriti besar negara menyokong" mengenakan ujian saringan terhadap penumpang dari China sebelum berlepas, bagaimanapun EU gagal mendapat persetujuan semua.

Pemerintah China dan pakar kesihatan Eropah berkata tidak ada keperluan mendesak untuk sebarang sekatan menyeluruh terhadap perjalanan kerana varian koronavirus yang muncul dari China sudah berleluasa di Eropah.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan di seluruh dunia, kelmarin turut menyokong protes itu.

Menurut Ketua Pengarah IATA, Encik Willie Walsh, beliau kecewa melihat pengembalian semula langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan sejak tiga tahun lalu.

"Penyelidikan yang dilakukan jelas menunjukkan bahawa meletakkan halangan terhadap perjalanan tidak memberi perbezaan ketara kepada penularan jangkitan.

"Paling banyak, sekatan menangguhkan puncak penularan itu untuk beberapa hari," katanya.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kelmarin, beliau memahami mengapa kebanyakan negara mengambil langkah itu terhadap pengembara dari China, memandangkan terdapat kekurangan data membabitkan wabak dan kurangnya ketelusan kepimpinan China.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia berkata, keputusannya memutuskan kawalan lebih ketat kemasukan pengembara asing ke negaranya tidaklah menjurus kepada mana-mana negara.

Ia menyifatkan langkah itu sebagai satu tindakan yang seimbang sebagai usaha menyekat jangkitan varian baru Covid-19.

Pakar virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata langkah yang diambil boleh dikatakan sebagai "jalan tengah" bagi mengimbangi faktor geopolitik, ekonomi dan kepentingan kesihatan awam.

Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan masih mengutamakan kepentingan kesihatan awam secara spesifik.

"Kita faham bahawa terdapat beberapa negara yang bertindak ekstrem dengan menghalang terus kemasukan pengembara daripada negara tertentu, namun Malaysia buat masa ini saya rasakan mengambil langkah yang seimbang untuk tujuan yang sama.

"Harap kerajaan akan terus memantau perkembangan dan saya juga harapkan secara global data berkenaan kes jangkitan berkaitan dapat dikemaskini secara telus," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) yang dilaporkan akhbar itu semalam. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg