SAN FRANCISCO: Facebook menarik semula permainan realiti maya membabitkan penggunaan senjata api dalam sebuah perhimpunan politik semalam.
Naib Presiden realiti maya Facebook, Hugo Barra, berkata permainan itu adalah satu kesilapan memandangkan negara berkenaan baru digemparkan dengan tragedi tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi.
"Kami menarik semula permainan itu dan berasa kesal kerana sudah meletakkan ia pada acara berkenaan," katanya menerusi akaun Twitter peribadi, semalam.
Menurut Barra, permainan tembak-menembak Oculus berunsur keganasan itu sering diadakan pada perhimpunan berkenaan.
"Permainan itu tidak seharusnya diadakan kali ini, khususnya selepas peristiwa berdarah minggu lalu, sebagai menghormati semua mangsa dan keluarga mereka," katanya lagi.
Gerai milik Facebook di Persidangan Politik Konservatif (CPAC) berhampiran Washington itu memberikan peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman mencuba permainan berkenaan.
Ia mencetuskan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan apakah syarikat media sosial berpangkalan di California itu hanya mementingkan keuntungan semata-mata berbanding nilai moral. - AFP