Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Fakta baru PRU15

Oct 17, 2022 | 05:30 AM



PARLIMEN yang dibubar Isnin lalu membuka ruang kepada pelaksanaan pilihan raya.



Fakta baru mengenai pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berbeza dengan beberapa PRU yang telah diadakan.



PARTI & GABUNGAN BARU



  •  Empat parti baru dijangka bertanding dalam PRU15.

Parti dan gabungan itu terdiri daripada:



- Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA),



- Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG),



- Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan



- Gerakan Tanah Air (GTA) yang merupakan gabungan beberapa parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), dan golongan profesional.



PENGUNDI 18 TAHUN



  •  Penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021.

Ini bakal menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.



  •  Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, berjumlah 21,113,234 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.



Jumlah pengundi berdaftar dijangka meningkat kepada 22.7 juta menjelang 2023, menyaksikan peningkatan hampir 50 peratus berbanding 14.9 juta yang direkodkan menerusi daftar pemilih Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.



WAKTU MENGUNDI DIPANJANGKAN



Tempoh masa pengundian pada PRU15 akan dipanjangkan selama satu jam bagi Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.



Bagi Semenanjung, waktu mengundi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, manakala jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak.



Pemanjangan tempoh masa berkenaan, berbanding jam 8 pagi hingga 5 petang pada PRU14, dapat memberi masa yang mencukupi kepada pemilih untuk mengundi.



AKTA ANTILOMPAT PARTI



Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, telah berkuat kuasa 5 Ogos lalu.



Dengan pelaksanaan akta itu, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya.



Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu.



Akta itu sebelum ini diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dengan sokongan majoriti seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.



PEMBUBARAN DUN DAN PARLIMEN



Banyak negeri di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan PAS tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing atas faktor memasuki musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dikhuatiri mengundang bencana banjir.



Walaupun ini bukan perkara baru apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung tanpa diiringi Pilihan Raya Umum (PRU), namun ia membawa kepada persoalan berkaitan penggunaan sumber, risiko banjir, kos pilihan raya dan sebagainya.



Pakatan Harapan menegaskan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan dibubarkan, sementara PAS juga setakat ini dilihat mengambil pendirian sama terhadap Kedah, Terengganu dan Kelantan yang diperintah parti tersebut.



Hanya negeri-negeri di bawah pemerintahan BN seperti Pahang, Perlis dan Perak yang dilihat akan membubarkan DUN masing-masing untuk diselarikan dengan tarikh PRU15.



PEMBENTANGAN SEMULA RANG UNDANG-UNDANG



Sekurang-kurangnya tujuh rang undang-undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2023 atau lebih dikenali Bajet 2023 perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baru yang dibentuk kelak.



Selain Bajet 2023, enam lagi membabitkan RUU yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi lalu namun belum dibawa ke Dewan Negara perlu dibentang semula di bawah pentadbiran kerajaan baru.



Ia membabitkan RUU Kualiti Alam Sekeliling, RUU Kesatuan Sekerja, RUU Tenaga Boleh Baru, RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, RUU Kanun Keseksaan, dan RUU Kanun Tatacara Jenayah.



PARTI POLITIK BENTUK KERJASAMA SELEPAS PRU15



Umum mengetahui, kesepakatan untuk membentuk gabungan bagi memasuki gelanggang pilihan raya secara tradisinya di Malaysia dibentuk sebelum pembubaran Parlimen atau PRU itu berlangsung.



Namun kini ketidakpastian memuncak susulan ramai pemerhati politik berpendapat sukar untuk sesebuah parti tunggal atau gabungan mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan.



Justeru, kesepakatan atau kerjasama dilihat akan lebih relevan sekiranya ia dilaksanakan selepas PRU15 melihat kepada jumlah kerusi yang dimenangi gabungan atau parti masing-masing bagi mencapai angka 112 kerusi Parlimen.



BANJIR



PRU kali ini diadakan ketika mana negara memasuki fasa peralihan Monsun Timur Laut yang mengundang risiko bencana banjir.



Perkara itu telah dikeluarkan amaran awal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan ribut petir, angin kencang yang membawa kepada kenaikan air di sungai-sungai utama negara juga kesan daripada fenomena La Nina.



Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tanggungjawab berat dan sukar dalam menentukan tarikh PRU bagi memastikan impak risiko banjir ketika proses pengundian dapat diminimumkan, sekali gus memastikan peratusan mengundi kekal tinggi seperti PRU14 lalu, dan menjamin proses demokrasi sihat dalam negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >