NEW YORK: Saham merosot kelmarin selepas Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (Fed), Encik Jerome Powell, berjanji bertindak "secara tegas" terhadap inflasi yang melambung tinggi dalam tindakan yang boleh 'menyakiti' keluarga dan perniagaan di Amerika Syarikat.
Pihak Fed telah melaksanakan kempen agresif untuk menaikkan kadar faedah - dan Encik Powell menyatakan dengan jelas semasa sidang Jackson Hole, yang mengumpulkan penggubal dasar kewangan sejagat, bahawa perjuangan menentang inflasi belum berakhir.
"Memulihkan kemantapan harga akan mengambil sedikit masa dan memerlukan penggunaan alat yang ada untuk mengimbangi permintaan dan bekalan dengan lebih baik," katanya semasa perhimpunan itu.
Sedikit tanda kelembapan dalam ekonomi terbesar dunia dan tekanan harga yang berkurangan telah mendorong harapan dalam pasaran kewangan bahawa bank pusat itu mungkin meredakan kenaikan kadar faedah yang agresif, dan mungkin juga mula berbalik arah tahun depan.
Tetapi Encik Powell melenyapkan harapan itu, menjelaskan bahawa dasar Fed dan kadar pinjaman penanda aras perlu kekal "cukup ketat" untuk mengembalikan inflasi kepada sasaran 2 peratusnya.
"Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi, pertumbuhan lebih perlahan, dan keadaan pasaran buruh yang kurang ketat akan menurunkan inflasi, mereka juga akan membawa sedikit kesakitan kepada isi rumah dan perniagaan," kata Encik Powell.
"Tetapi kegagalan memulihkan kestabilan harga akan bermakna kesakitan yang jauh lebih besar."
Saham Wall Street jatuh, dengan ketiga-tiga indeks utama berakhir dengan kerugian 3 peratus atau lebih.
Dolar Amerika merosot berbanding euro, tetapi meningkat berbanding yen Jepun dan paun Britain.
Sebelum ini, sentimen dirangsang menjelang ucapan Encik Powell, dengan bacaan terkini indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika, kayu ukur pilihan Fed untuk inflasi, merosot 0.1 peratus daripada Julai dari Jun, dan perlahan kepada 6.3 peratus daripada 6.8 peratus secara tahunan.
Tetapi Encik Powell memberi amaran bahawa satu bulan penguncupan tidak mencukupi untuk mengisytiharkan kemenangan.
Saham di pasaran Eropah merosot selepas ucapan Encik Powell sementara sentimen saham di London telah terjejas oleh berita bahawa bil tenaga Britain meningkat lebih tinggi tahun ini berikutan lonjakan harga gas borong sedang krisis kos sara hidup Britain menjadi semakin buruk.
Saham Frankfurt dan Paris juga turun di tengah-tengah kebimbangan akan berlakunya krisis bahan tenaga di benua Eropah pada musim sejuk mendatang sedang Russia mengawal bekalan bahan tenaga. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg