
WASHINGTON: NuScale Power, sebuah syarikat Amerika yang membina serta memasarkan reaktor modular kecil (SMR), pada Isnin mendedahkan rancangan untuk membina SMR bernilai hingga AS$7.5 bilion ($10 bilion) di Filipina.
Pegawai-pegawai tinggi NuScale memberitahu keinginan mereka itu dalam satu mesyuarat dengan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr sejurus sebelum beliau berkunjung ke Rumah Putih dan bertemu Presiden Joe Biden.
Encik Marcos, yang sedang berada di ibu kota Amerika itu dalam rangka lawatan lima hari, berkata bahawa projek SMR dari NuScale itu amat penting dalam mengatasi kekurangan bekalan tenaga di Filipina yang sering mengakibatkan bekalan terputus buat beberapa jam.
"Kami memerlukan kesemuanya (bagi menangani masalah tenaga)... dan teknologi baru ini adalah sesuatu yang diperlukan," kata Encik Marcos.
Pada September 2022, Encik Marcos mengadakan pertemuan dengan para eksekutif NuScale semasa melakukan lawatan kerja di New York.
Setiausaha perhubungan presiden Filipina, Cik Cheloy Garafil, berkata projek itu adalah saranan yang tidak diminta NuScale dan rakan kongsi Filipinanya, Prime Infrastructure Capital, yang diketuai Encik Enrique Razon Jr.
Beliau ikut serta dalam rombongan Encik Marcos, yang melakukan lawatan rasmi pertama nya ke Washington.
"Belum ada lagi tempat tertentu. Tetapi mereka melihat Luzon," kata Cik Garafil kepada akhbar Filipina, Inquirer.
Syarikat NuScale yang beribupejabat di Oregon itu berkata mereka akan segera menjalankan kajian bagi mengenalpasti tempat yang bakal menjadi tapak mereka di Filipina untuk projek SMR ini.
Encik Clayton Scott, naib presiden eksekutif bagi perniagaan NuScale, memberi jaminan kepada rombongan Filipina itu bahawa syarikatnya "berkeyakinan" teknologi ini akan dapat memenuhi jangkaan Filipina.
Katanya, teknologi itu adalah hasil daripada penyelidikan saintis nuklear dan merupakan "pertama dan satu-satunya" yang telah mendapat persetujuan Suruhanjaya Peraturan Nuklear Amerika Syarikat.
Suruhanjaya itu telah memberi kelulusan pada Januari 2024 terhadap rekaan reaktor kecil pertama NuScale, iaitu 50 megawatt (MW) SMR air-ringan canggih.
SMR adalah sebahagian kecil daripada saiz dan kos reaktor kuasa nuklear konvensional dan boleh menghasilkan elektrik karbon rendah pada kira-kira satu pertiga daripada kapasiti penjanaan kemudahan nuklear tradisional, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Encik Marcos telah menyokong kuat kemasukan tenaga nuklear bagi bekalan tenaga di Filipina.
Dalam ucapan perdananya pada Julai 2022, beliau berkata sudah tiba masanya untuk meneliti dasar tenaga nuklear negara itu, sambil menarik perhatian bahawa teknologi moden boleh mewujudkan pencegahan berlakunya sebarang bencana.
Beliau berkata apabila Filipina memutuskan penggunaan tenaga nuklear, pemerintah akan mematuhi garis panduan IAEA bagi memulakan program tenaga nuklear, bermula dengan 19 prasarana.
Pembinaan janakuasa 620MW di Morong, Bataan, yang dimulakan pada 1975 dan memakan masa sembilan tahun, bernilai AS$2.3 bilion - meningkat sebanyak AS$600 juta daripada anggaran awal, didakwa gara-gara menyogok beberapa pegawai pemerintah. - Agensi berita.
"Kami memerlukan kesemuanya (bagi menangani masalah tenaga)... dan teknologi baru ini adalah sesuatu yang diperlukan." - Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg