WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mencapai penyelesaian melibatkan pembayaran AS$100 juta (S$132 juta) dengan pemilik dan pengendali kapal kargo berdaftar di Singapura dalam kes jambatan Baltimore runtuh pada 26 Mac.
Dalam kejadian itu, M/V Dali berukuran 300 meter, telah melanggar Jambatan Francis Scott Key, menyebabkan enam pekerja jalan raya terbunuh dan menyekat laluan perkapalan yang sibuk.
Grace Ocean Private Ltd dan Synergy Marine Private Ltd telah bersetuju untuk membayar tuntutan sivil sebanyak AS$101.1 juta bagi kos mengendalikan kemalangan tersebut dan memindahkan runtuhan jambatan di saluran perkapalan menuju ke Pelabuhan Baltimore, jelas Jabatan Kehakiman pada 24 Oktober.
“Hampir tujuh bulan selepas salah satu bencana pengangkutan terburuk yang meragut enam nyawa dan menyebabkan kerosakan yang tidak terkira, kami telah mencapai penyelesaian penting ini,” kata Encik Benjamin Mizer, pegawai kanan Jabatan Kehakiman, dalam satu kenyataan.
“Resolusi ini memastikan bahawa usaha pembersihan oleh pemerintah persekutuan di Fort McHenry Channel ditanggung oleh Grace Ocean dan Synergy dan bukannya pembayar cukai Amerika,” tambah Encik Mizer.
Jabatan Kehakiman berkata penyelesaian itu tidak termasuk sebarang kerosakan untuk membina semula Jambatan Francis Scott Key. Itu adalah subjek tuntutan berasingan dari negeri Maryland.
Keluarga enam pekerja jalan raya yang maut juga membuat tuntutan undang-undang mereka sendiri.
Laluan air Fort McHenry menuju ke pelabuhan Baltimore, adalah hab utama industri auto. Ia dibuka semula kepada kegiatan perkapalan komersial pada 10 Jun.
Dalam kejadian itu, kapal Dali sedang meninggalkan pelabuhan Baltimore untuk menuju ke Colombo, Sri Lanka, dengan destinasi akhir di Yantian, China.
Kapal Dali dilaporkan kehilangan kuasa dan masalah keupayaan untuk bergerak, sebelum melanggar tiang sokongan jambatan tersebut yang kemudiannya runtuh.
Menurut Pengawal Pantai Amerika, daripada 4,700 kontena di atas kapal itu, 56 menyimpan bahan berbahaya tetapi tidak ada ancaman ke atas orang ramai.
Dua kontena terhumban ke dalam air tetapi ia tidak mengandungi bahan berbahaya. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg