Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fitnah jantina isteri Presiden Perancis: 10 tertuduh hadapi perbicaraan gangguan siber

Oct 29, 2025 | 5:01 PM
FOTO FAIL: Presiden Perancis Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte Macron, menyambut Putera Mahkota Jordan, Hussein bin Abdullah, serta isterinya, Rajwa Al Hussein (tidak kelihatan dalam gambar) untuk jamuan kerja di Istana Elysee, Paris, Perancis, pada 8 Oktober 2025
FOTO FAIL: Presiden Perancis Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte Macron, menyambut Putera Mahkota Jordan, Hussein bin Abdullah, serta isterinya, Rajwa Al Hussein (tidak kelihatan dalam gambar) untuk jamuan kerja di Istana Elysee, Paris, Perancis, pada 8 Oktober 2025 - Foto REUTERS

PARIS: Perbicaraan di Mahkamah Paris yang melibatkan sepuluh individu atas tuduhan gangguan siber terhadap Brigitte Macron membuka perbahasan besar mengenai impak fitnah digital terhadap tokoh awam dan batas kebebasan bersuara dalam era media sosial yang semakin tidak terkawal.

Tuduhan palsu mengenai identiti jantina Wanita Pertama Perancis itu termasuk dakwaan bahawa beliau merupakan seorang lelaki bernama Jean-Michel Trogneux kini bukan lagi sekadar bahan sindiran internet, tetapi serangan yang membawa implikasi undang-undang dan psikologi yang mendalam.

Cik Brigitte Macron, 72 tahun, tidak hadir di mahkamah, namun kesan trauma yang sedang ditanggung beliau jelas digambarkan oleh anak bongsunya, Cik Tiphaine Auziere, ketika memberikan keterangan di mahkamah pada 28 Oktober. “Tiada satu minggu pun berlalu tanpa gangguan,” kata Cik Auziere sambil menjelaskan bagaimana ibunya kini hidup dalam kebimbangan berterusan akibat manipulasi gambar serta penyebaran teori konspirasi mengenai jantinanya.

Beliau menambah bahawa sebagai seorang wanita dan seorang ibu, “Saya tidak akan sesekali berharap apa yang berlaku pada ibu saya ini terjadi kepada sesiapa pun.”

Teks perbicaraan menunjukkan bahawa kempen fitnah tersebut telah tersebar secara sistematik melalui pelbagai platform dalam talian, termasuk oleh individu terkenal seperti pengulas konservatif Amerika Syarikat, Cik Candace Owens. Cik Owens dikatakan melancarkan siri serangan berterusan melalui video dan ciapan bertajuk Becoming Brigitte, yang telah ditonton oleh jutaan pengguna media sosial.

Menurut dokumen perbicaraan, dakwaan palsu itu turut dipautkan dengan perbezaan usia 24 tahun antara Cik Brigitte dan Presiden Emmanuel Macron, yang secara sinis digambarkan sebagai tingkah laku pedofilia. Fitnah berbentuk seksual dan peribadi ini bukan sahaja menyerang reputasi Brigitte sebagai isteri pemimpin negara, tetapi juga sebagai wanita yang telah berkorban untuk kehidupan keluarganya.

Cik Brigitte memberitahu polis bahawa tuduhan itu telah memberikan “kesan yang sangat berat” terhadap kehidupan peribadinya dan ahli keluarga, malah cucu-cucunya telah terjejas secara emosi. “Yang paling buruk ialah maklumat palsu dan naratif yang direka, dengan orang ramai akhirnya mempercayainya dan mengganggu kehidupan anda,” katanya, seperti yang dibacakan dalam prosiding mahkamah.

Cik Brigitte turut percaya bahawa dirinya menjadi sasaran bagi melemahkan kedudukan suaminya. “Saya fikir mereka menggunakan saya untuk menyerangnya, itu yang saya rasa,” kata beliau kepada pihak penyiasat. Ini menunjukkan fitnah tersebut tidak wajar dilihat sebagai isu peribadi semata-mata, tetapi sebahagian daripada serangan politik yang diatur untuk menjejaskan kredibiliti presiden.

Encik Macron sendiri pernah menyifatkan penyebaran itu sebagai kerja “orang tidak waras”, sambil menegaskan bahawa maklumat palsu sedemikian mampu menggoncang kehidupan keluarga pemimpin negara dan merosakkan wibawa institusi kepresidenan.

Kes ini bermula selepas peguam Cik Brigitte mengemukakan aduan rasmi pada Ogos 2024, disusuli penahanan beberapa suspek pada Februari dan Mac tahun ini. Sepuluh tertuduh termasuk guru, ahli politik, pemilik galeri, pakar IT dan pengurus hartanah berusia antara 41 hingga 60 tahun kini berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Walaupun begitu, ramai tertuduh cuba memperkecilkan peranan masing-masing dengan alasan mereka hanya mempunyai pengikut media sosial kecil dan sekadar “mengambil bahagian dalam perbincangan umum.” Seorang defendan, Encik Jerome Claverie, malah berkata dengan sinis, “Ia satu gurauan, ia kelakar. Adakah anda perlukan sijil untuk membuat jenaka di Perancis?”

Hujah sedemikian menimbulkan perdebatan penting tentang garis pemisah antara satira politik yang sah dan penyebaran fitnah yang mencemar hak asasi seseorang. Pendakwa berhujah bahawa tindakan defendan telah menyebabkan kemerosotan nyata terhadap kesihatan mental dan kualiti hidup Brigitte Macron, sekali gus memenuhi elemen kesalahan gangguan siber yang diperuntukkan dalam undang-undang Perancis.

Bagi sebahagian defendan, kes ini dilihat sebagai ancaman terhadap kebebasan bersuara. Encik Aurelien Poirson-Atlan dan Encik Bertrand Scholler memberi amaran bahawa pendakwaan ini “boleh menetapkan duluan yang berbahaya”.

Namun, persoalan asas yang mesti dijawab ialah sama ada kebebasan bersuara boleh dijadikan alasan untuk merosakkan maruah seseorang melalui serangan berbentuk identiti jantina satu bentuk gangguan yang lazimnya ditujukan kepada wanita dan kumpulan terpinggir.
Hal ini membuktikan cabaran besar dalam era digital: kelajuan dan capaian penyebaran maklumat jauh mengatasi kemampuan undang-undang untuk membendung kemudaratan sosial yang tercetus.

Perkara yang paling menonjol dalam kes ini ialah bentuk fitnah yang digunakan menyoal jantina seorang wanita sebagai alat serangan. Ia mencerminkan dimensi misoginistik di mana identiti wanita boleh dipersenda dan direndahkan demi menyerang kedudukan suaminya.

Teks menunjukkan bahawa fitnah ini menyebabkan Cik Brigitte sangat berhati-hati dalam cara berpakaian dan beraksi di khalayak kerana bimbang gambarnya akan disalahgunakan.
Hal ini memberi gambaran jelas bahawa serangan bukan hanya tentang menafikan identiti beliau, tetapi bertujuan memalukan kedudukannya sebagai wanita dalam politik - ruang yang masih sarat dengan stereotaip gender.

Perbicaraan Cik Brigitte Macron menjadi penanda penting bahawa fitnah bukan sekadar pelanggaran kecil dalam lautan perdebatan politik, tetapi serangan sistematik yang mampu meruntuhkan kekuatan mental, maruah serta keselamatan individu dan keluarga. “Tidak ada satu minggu pun berlalu tanpa seseorang membangkitkan perkara itu,” kata Cik Auziere dengan penuh emosi.

Hakikat bahawa fitnah tersebut dibiarkan subur di platform global menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan terhadap tokoh awam, khususnya wanita yang sering menjadi sasaran angguan berkaitan jantina.

Kes ini kini berada di titik penentu: sama ada mahkamah akan mengesahkan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh menjadi tempat berlindung bagi perbuatan menyebar kebencian dan teori konspirasi. Keputusan nanti dijangka pada Januari 2026 tidak hanya menentukan nasib 10 tertuduh, tetapi juga memberi mesej jelas mengenai had moral dan undang-undang di dunia digital. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg