YOGYAKARTA: Kumpulan 20 (G-20) telah menerima ikrar berjumlah AS$1.2 bilion ($1.7 bilion) sejauh ini bagi dananya yang akan membantu negara dunia lebih bersedia menghadapi wabak masa depan, kata Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Sadikin.

Komitmen awal sumbangan itu datang dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Singapura dan Jerman, serta sebuah syarikat swasta.

Berucap pada hari pertama mesyuarat menteri kesihatan G-20 di Yogyakarta, Indonesia, kelmarin, Encik Budi, yang mempengerusikan mesyuarat itu - berkata Dana Perantara Kewangan (FIF) yang dirancang berharap dapat mengumpul AS$10.5 bilion untuk mencapai matlamatnya.

Ini termasuk dalam mendapatkan vaksin, ubat, kit ujian dan peralatan buat negara berpendapatan rendah dan sederhana.

"Sedang kita menantikan dunia di mana wabak Covid-19 reda, kita harus memanfaatkan masa untuk membina sistem kesihatan global yang lebih berdaya tahan, bukan sahaja bagi tujuan hari ini, malah bagi cabaran esok. Lebih baik sediakan payung sebelum hujan," kata Encik Budi, lapor The Straits Times.

Indonesia mengambil alih jawatan presiden G-20 daripada Italy pada Disember lalu.

Dihadiri 80 perwakilan secara peribadi dan lebih 50 lagi dalam talian, mesyuarat hibrid itu turut membincangkan cara mengagihkan semula hab pengilangan dan penyelidikan global untuk membantu memastikan negara di seluruh dunia mempunyai lebih banyak kapasiti yang sama untuk memerangi wabak masa depan.

Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung, adalah antara menteri yang menghadiri mesyuarat itu.

Singapura bukan anggota G-20, tetapi telah kerap diundang untuk menyertai sidang puncak dan mesyuarat berkaitannya.

Bercakap semasa mesyuarat itu, Encik Ong berkata rancangan pembentukan FIF dan jumlah permulaan yang besar yang diikrarkan kepadanya merupakan perkembangan utama kepada sektor kesihatan.

"Tugas di hadapan dalam melakukan kerja FIF adalah banyak dan rumit... Terdapat pelbagai tugas yang perlu kita lakukan, daripada mengukuhkan pengawasan, pembangunan vaksin, kapasiti pengeluaran, pengedaran, dan lain-lain," ujarnya.

Beliau berkata kejelasan tentang cara dana itu akan digunakan, dan bagaimana ia akan ditadbir dan digunakan - dengan penglibatan rapat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) - akan membolehkan negara penderma berpotensi menyampaikan perkara itu dengan jelas kepada rakyat mereka, dan menjana momentum yang diperlukan FIF.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menghadiri mesyuarat itu secara peribadi, berkata:

"Yang penting, tadbir urus FIF mestilah inklusif, dengan struktur yang membolehkan perwakilan semua negara.

"Dan ia juga mesti koheren dengan bahagian lain dalam struktur global untuk kesediaan dan tindak balas kecemasan kesihatan."

Semua tindakan yang dikenal pasti semasa mesyuarat itu dijangka dibentangkan pada sidang puncak pemimpin G-20 di Bali pada 15 dan 16 November, dengan negara anggota dijangka beriltizam untuk melaksanakan komitmen yang dibuat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti