Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

G-7 akur perisytiharan bersama elak pandemik baru

Pemimpin 7 negara mulai sidang puncak dengan kenyataan akan derma 1 bilion dos vaksin Covid-19 kepada negara miskin
Jun 13, 2021 | 5:30 AM
BERSIDANG: Ratu Elizabeth (tengah) bersama (duduk, dari kiri) Canselor Jerman Angela Merkel, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan Presiden Amerika Joe Biden serta (diri, dari kiri) Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, Perdana Menteri Canada Justin Trudeau, Perdana Menteri Italy Mario Draghi dan Presiden Majlis Eropah Charles Michel di tepi sidang puncak G-7 kelmarin. - Foto REUTERS
BERSIDANG: Ratu Elizabeth (tengah) bersama (duduk, dari kiri) Canselor Jerman Angela Merkel, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan Presiden Amerika Joe Biden serta (diri, dari kiri) Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, Perdana Menteri Canada Justin Trudeau, Perdana Menteri Italy Mario Draghi dan Presiden Majlis Eropah Charles Michel di tepi sidang puncak G-7 kelmarin. - Foto REUTERS -

CARBIS BAY: Pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G-7) bersetuju mengeluarkan satu perisytiharan bersama yang bertujuan mengelak satu lagi pandemik, apabila kumpulan itu mengadakan satu pertemuan secara fizikal semalam, kali pertama dalam hampir dua tahun.

Kumpulan ekonomi terbesar dunia - Britain, Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Amerika Syarikat - itu juga bersetuju menyerlahkan perpaduan demokrasi Barat di tengah-tengah kebangkitan China dan sikap enggan tolak ansur Russia.

Para pemimpin itu akan disertai pemimpin dari Australia, Afrika Selatan dan Korea Selatan, serta India secara maya, dengan agenda pertemuan diluaskan kepada isu dasar luar dan perubahan iklim.

Sidang puncak G-7 itu diadakan secara fizikal buat pertama kali sejak 2019, dan lokasi kali ini ialah bandar pantai di Cornwall, barat daya England, setelah Covid-19 memaksa pertemuan tahun lalu dibatal.

Pemimpin tujuh negara itu membuka tirai sidang puncak tiga hari yang bermula kelmarin itu dengan perisytiharan akan menderma satu bilion dos vaksin Covid-19 kepada negara berpendapatan rendah - meskipun tempoh tahun ini dan tahun depan bagi derma itu disampaikan mengundang kritikan sesetengah pengamat.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, memulakan sidang puncak itu dengan mesej perpaduan dan kerjasama - berbeza daripada pendirian presiden sebelum ini, Encik Donald Trump.

Selepas sesi pembukaan yang bertemakan pemulihan dan pembangunan semula pasca-Covid-19, para pemimpin itu menyertai jamuan makan malam atas undangan Ratu Elizabeth di tarikan utama di Cornwall, Eden Project.

Sebuah tarikan terkenal yang mempamerkan kekayaan ekologi dunia, Eden Project juga menjadi lokasi pertemuan 10 tokoh perniagaan dunia bersama Putera Charles bagi membincangkan usaha mengutamakan perkembahan mampan sejagat.

Para pemimpin itu membincangkan usaha memperkenal perjanjian bagi melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus lautan dan tanah di bumi ini menjelang 2030.

Sementara itu, dalam perbincangan dasar luar, para pemimpin itu turut membincangkan kudeta di Myanmar dan kemelut demokrasi di Belarus, selain ketegangan dengan Russia dan China.

Esok mereka akan berada di Brussels bagi satu mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), sebelum Encik Biden berangkat ke Geneva bagi satu sidang puncak pertamanya bersama Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.

Encik Biden telah berjanji akan menyampaikan mesej tegas kepada Encik Putin.

"Saya akan beritahu anda mengenainya selepas saya bertemu beliau," kata Encik Biden, menjawab pertanyaan media. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg