HOUSTON (Amerika Syarikat): Gabenor Texas Greg Abbott, yang negerinya dilanda lonjakan penularan pandemik Covid-19 keempat, diuji positif virus itu kelmarin meskipun beliau tidak mengalami sebarang gejala.
Encik Abbott, seorang anggota parti Republikan yang terlibat dalam tengkarah dengan beberapa pemimpin setempat mengenai larangan pemakaian pelitup di sekolah, sedang menjalani pengasingan diri, menurut pejabatnya.
Beliau, yang sudahpun mendapatkan suntikan vaksin sepenuhnya, juga menerima rawatan antibodi monoklonal.
"Saya membuat ujian pada diri saya setiap hari, dan hari ini adalah hari pertama saya positif," kata Encik Abbott dalam satu rakaman video yang disiarkan di Twitter.
"Saya juga ingin anda tahu bahawa saya telah menerima vaksin Covid-19, dan ia mungkin salah satu sebab mengapa saya benar-benar tidak mengalami sebarang gejala sekarang."
Pada malam Isnin lalu, Encik Abbott dilihat bercakap di hadapan beratus-ratus orang dalam satu majlis parti Republikan di pinggir bandar Dallas di mana hanya beberapa orang memakai pelitup.
Kelmarin pula, gabenor Texas itu menghantar gambarnya bertemu gitaris Jimmie Vaughan, saudara lelaki pemain gitar legenda Stevie Ray Vaughan, menerusi Twitter.
"Semua orang yang berada dekat dengan gabenor itu telah diberitahu," kata Encik Mark Miner, pengarah komunikasi Encik Abbott.
"Wanita Pertama Texas Cecilia Abbott diuji negatif."
Kenyataan itu, bagaimanapun, tidak mendedahkan bila Encik Abbot dijangkiti Covid-19.
Berita mengenai jangkitan ke atas Encik Abbott didedahkan pada hari yang sama pegawai di Houston mengumumkan bahawa pihak berkuasa akan membayar $100 ($136) kepada sesiapa sahaja yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka sedang hospital di daerah itu dijangka mengalami limpahan jumlah pesakit virus itu minggu ini.
Hakim Daerah Harris Lina Hidalgo, pegawai tertinggi di daerah yang merangkumi Houston, menggesa penduduk supaya memanfaatkan insentif $100 itu, yang katanya dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga 31 Ogos.
"Kita harus berusaha lebih gigih, sudah cukuplah!" kata Cik Hidalgo dalam satu sidang media.
Amerika Syarikat mencatatkan lebih 37 juta kes Covid-19 sejak pandemik itu bermula.
Negara itu juga menyaksikan kadar pertambahan kes Covid-19 baru yang lebih cepat daripada sebelumnya, menurut perhitungan Reuters.
Pertambahan kes baru sepanjang 18 hari sehingga Isnin lalu sahaja mencecah dua juta - lonjakan paling cepat.
Florida mempunyai kadar pesakit Covid-19 tertinggi di hospital, dengan 16,832 pesakit, menurut data daripada Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg