JAKARTA: Gabenor Jakarta Anies Baswedan kini menghadapi kiritikan kerana meninggalkan bandar tersebut biarpun sedar tentang keganasan yang boleh berlaku.
Encik Anies berlepas ke Tokyo pada Ahad lalu untuk menghadiri sebuah forum, namun dua hari kemudian Jakarta digegarkan oleh rusuhan yang disifatkan paling buruk sejak rusuhan yang berlaku pada Mei 1998 yang menggulingkan mantan presiden Suharto.
Sebelum berlepas ke Tokyo, Encik Anies telah mengarahkan semua hospital di bandar itu bersedia menangani kemungkinan mangsa rusuhan yang boleh berlaku apabila penyokong parti Gerindra Prabowo Subianto mengadakan tunjuk perasaan bagi mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan keputusan pilihan raya presiden pada 2019.
Dengan ratusan yang cedera dan beberapa yang terkorban akibat rusuhan ramai warga menyalahkan beliau kerana meninggalkan Jakarta sedangkan pergolakan politik diketahui mungkin berlaku.
Tidak lama selepas penunjuk perasaan mula membanjiri jalan utama di Jakarta, hashtag #AniesDimana (Dimana Anies) mula muncul di Twitter.
"Gabenor sedang berkelah, timbalan gabenor hilang ... sementara bandar terbakar, orang tidak boleh hidup," kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @desindra.
Ramai lain menyiarkan gambar rusuhan dan menulis 'hashtag' #AniesDimana.
Bagi anggota majlis bandar Gembong Warsono dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang merupakan anggota Suruhanjaya A, majlis yang mengawasi pemerintahan, kesilapan besar Encik Anies adalah beliau gagal mengeluarkan amaran keamanan bagi warga Jakarta.
"Tidak ada usaha mempersiap warga Jakarta menghadapi apa yang akan berlaku dan ini tidak dilaksana kerana gabenor meninggalkan (bandar), katanya kepada The Jakarta Post kelmarin.
Walaupun selepas pergolakan reda, Encik Anies gagal menggesa penunjuk perasaan supaya bertenang, kata Encik Gembong.
"Sehingga 22 Mei, saya tidak mendengar gabenor menggesa orang ramai supaya tidak menyertai perbuatan anarki," katanya.
"Mengapa? Saya tidak tahu. Tanya Anies kenapa beliau tidak buat gesaan sedemikian?"
Beberapa hari sebelum rusuhan pada Rabu lalu, beberapa pemimpin serantau bandar satelit Jakarta gesa penduduk supaya mengelak daripada pergi ke Jakarta.
Walikota Bekasi, Encik Rahmat Effendi, di Jawa Barat; Walikota Tangerang, Encik Arief R Wismansyah; dan, Bupati Tangerang, Encik Ahmed Zaki Iskandar merupakan antara pemimpin yang membuat gesaan tersebut.
Beberapa gabenor termasuk Gabenor Jawa Timur Khofifah Indar Parawansa, Gabenor Yogyakarta Hamengkubuwono X, Gabenor Zulkieflimansyah Nusa Tenggara Barat, Gabenor Sulawesi Selatan Nurdin Abdullah dan Gabenor Maluku Murad Ismail, juga menyerukan supaya penduduk tidak menyertai protes politik itu.
Pada Selasa lalu, selepas melawat Jalan MH Thamrin di mana rusuhan berlaku, Encik Anies mengeluarkan kenyataan mempertahankan hak warga menyuarakan pendapat mereka, memandangkan ia adalah hak perlembagaan mereka.
"Kita tidak boleh memotong perkara paling asas dalam demokrasi kita, iaitu kebebasan berhimpun. Tugas (pentadbiran kota) adalah memastikan kegiatan yang dijalankan di ibu kota berjalan dengan selamat dan aman, serta memastikan bahwa kawasan Jakarta tenang," katanya.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa rusuhan baru-baru ini serupa rusuhan Mei 1998 yang menyebabkan Jakarta lumpuh selama beberapa hari.
Rusuhan 1998 adalah sebahagian daripada rantaian peristiwa yang membawa kepada peletakan jawatan Presiden Suharto.
"Saya harus menggariskan bahawa keadaan di Jakarta agak stabil kerana ini berbeza dengan apa yang terjadi pada 1998. Pada 1998, rusuhan berlaku di seluruh Jakarta, merebak di kedai-kedai, pusat beli-belah, tetapi semalam, itu tidak berlaku. Rusuhan hanya berlaku di Tanah Abang, Slipi dan Thamrin," katanya.
Encik Anies juga mengesahkan, jumlah kematian akibat rusuhan pada Rabu lalu adalah lapan orang, sesuatu yang belum disahkan oleh polis.
Dalam satu taklimat akhbar kelmarin, jurucakap Polis Negara, Encik Muhamad Iqbal, berkata tujuh orang, yang semuanya penunjuk perasaan, mati dalam rusuhan itu.
Awal daripada itu, Encik Anies merupakan pegawai pertama yang memberikan jumlah kematian akibat pertempuran, menyebabkan pegawai keselamatan di peringkat kebangsaan bergegas memberi versi peristiwa mereka sendiri.
Pakar dasar awam dari Universiti Trisakti, Encik Trubus Rahadiansyah, mengatakan bahawa sebagai gabenor Jakarta, Encik Anies mungkin boleh melakukan lebih banyak bagi mempersiap kota itu menghadapi kemungkinan keadaan kecemasan dan bukannya memberi tumpuan kepada menghitung angka kematian.
Beliau menyarankan bahawa Encik Anies sepatutnya memberi taklimat kepada semua pemimpin tempatan unit kejiranan dan unit masyarakat supaya mengenal pasti potensi tempat perhimpunan para penunjuk perasaan dan memantau kemasukan orang dari luar Jakarta. - Agensi berita.