Gara-gara dakwa yogurt boleh lawan Covid-19...
SEOUL: Pengerusi sebuah syarikat tenusu Korea Selatan meletak jawatan setelah polis negara itu melancarkan siasatan terhadap kenyataan syarikat itu bahawa minuman yogurtnya berkesan dalam melawan koronavirus Covid-19.
Peletakan jawatan pengerusi Namyang Dairy Product, Encik Hong Won-sik, dilakukan tiga minggu setelah syarikat itu membuat dakwaan tersebut namun kemudian menarik balik dakwaan itu.
Namun tindakan meletak jawatan itu tidak mengurangkan kecaman dan reaksi balas pengguna terhadap syarikat itu.
"Saya akan mengundurkan diri daripada jawatan pengerusi Namyang Dairy sebagai memikul tanggungjawab atas semua ini dan saya tidak akan menyerahkan pengurusan kepada anak saya," kata Encik Hong dalam satu kenyataan maaf di televisyen.
Encik Hong dan ahli keluarganya memiliki pegangan saham sebanyak 53.1 peratus syarikat tenusu nombor tiga Korea Selatan itu berdasarkan hasil penjualan.
Polis Seoul baru-baru ini menyerbu ibu pejabat syarikat itu setelah dakwaan itu dbuat.
Syarikat itu mendakwa dalam satu forum yang dihadiri wartawan bulan lalu (Apr) bahawa minuman yogurt Bulgarisnya berkesan untuk mencegah Covid-19, sehingga harga sahamnya meningkat hampir 30 peratus.
Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan kemudian mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa syarikat Namyang tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya itu, dan menuduh syarikat itu menyebarkan maklumat mengelirukan secara terlarang.
Korea Selatan telah melanjutkan sekatan pergerakan Covid-19 yang lebih ketat di tengah-tengah kebimbangan mengenai sekumpulan kecil jangkitan Covid-19 di kawasan metropolitan Seoul.
Di bawah panduan jarak selamat lima peringkat negara itu, Tahap 2 - peringkat ketiga tertinggi - akan dikenakan hingga 23 Mei ini di ibu kota Seoul dan wilayah berdekatannya di Gyeonggi, dengan Tahap 1.5 dilaksanakan di kawasan lain, menurut pihak kesihatan pemerintah.
Larangan bagi mengadakan perhimpunan seramai lima orang atau lebih akan dikenakan bagi tempoh sama.
Sementara itu, Korea Selatan sedang bergantung kepada ketibaan hampir 14 juta dos vaksin Covid-19 menjelang Jun, kata pegawai pemerintah, untuk mempertingkat usaha imunisasi yang mungkin kehilangan momentum akibat masalah bekalan berkurangan ekoran kelewatan penghantaran bekalan vaksin.
Penghantaran 8.9 juta dos vaksin AstraZeneca - termasuk 1.67 juta melalui skim perkongsian Covax global - dan lima juta dos vaksin Pfizer dijadual tiba menjelang Jun.
Sehingga hujung April, hampir 3.4 juta orang daripada 52 juta penduduk negara itu telah menerima dos pertama mereka dalam kempen yang bermula sejak Februari lalu.
Korea Selatan telah menempah 192 juta dos vaksin, termasuk daripada Novavax, Moderna, dan Johnson & Johnson, tetapi menghadapi masalah kelewatan penghantaran di tengah-tengah kekurangan bekalan vaksin di peringkat sejagat. - Reuters, Agensi berita.

