Topik diikuti
Pergi ke BHkuGegaran gempa Mindanao dirasai di Sabah, Indonesia
Gegaran gempa Mindanao dirasai di Sabah, Indonesia
Cetus amaran tsunami di Jepun, Asia Tenggara; gempa susulan magnitud 6.1 landa selatan Filipina
Gegaran gempa Mindanao dirasai di Sabah, Indonesia
MANILA: Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud menggegarkan wilayah Mindanao di selatan Filipina pagi Isnin, menyebabkan beberapa bangunan runtuh dan mencetuskan amaran tsunami di Filipina, Jepun, Malaysia dan Indonesia.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada 7.37 pagi waktu tempatan kira-kira 24 kilometer di barat daya Burias, Filipina.
Beberapa gegaran susulan turut direkodkan selepas gempa utama berlaku.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan sebuah pusat beli-belah di General Santos City runtuh menjadi timbunan konkrit akibat gegaran kuat tersebut.
Setakat ini belum ada laporan rasmi mengenai jumlah korban, namun USGS memberi amaran terdapat kemungkinan berlaku kematian dan kerosakan besar berdasarkan kekuatan gempa dan keadaan bangunan di kawasan terjejas.
Seorang peguam berusia 72 tahun di General Santos, Cik Nena Santos, berkata gempa itu adalah yang paling kuat pernah dirasainya.
Beliau yang sedang menuju ke lapangan terbang ketika kejadian berkata gegaran berterusan selama hampir lima minit.
“Saya hanya menutup mata dan berkata, ‘Tuhan, cukuplah,’” katanya melalui panggilan telefon.
Beliau berkata beliau melihat beberapa bangunan runtuh selain kehadiran banyak kereta polis dan ambulans di jalan raya.
“Saya juga nampak pelajar menjerit dan berlari keluar dari sekolah,” katanya.
Gempa itu berlaku pada hari pertama sesi persekolahan selepas cuti dua bulan.
Rakaman video menunjukkan murid sekolah rendah menangis dan menjerit ketakutan selepas bumbung sementara sebuah bangunan berhampiran sekolah mereka runtuh.
Beberapa kawasan turut dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.
Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., mengarahkan penggantungan kelas di semua peringkat di kawasan terjejas di Mindanao sehingga diberitahu kelak.
Beliau berkata pemerintah sedang menyelaras operasi bantuan dan tindak balas kecemasan.
“Keselamatan anak-anak kita adalah keutamaan,” katanya.
Penduduk di wilayah terjejas turut diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberi amaran kemungkinan ombak setinggi tiga meter boleh melanda beberapa kawasan pesisir.
Agensi itu turut memaklumkan ombak sehingga satu meter mungkin berlaku di beberapa kawasan di Malaysia.
Jabatan Meteorologi Jepun pula mengeluarkan amaran tsunami di sepanjang pantai Pasifik negara itu, dari wilayah Ibaraki sehingga Okinawa.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia turut mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan pesisir timur laut negara itu.
Di Filipina, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) mengeluarkan amaran bahawa ombak tsunami melebihi satu meter berpotensi melanda sembilan kawasan pesisir.
Antara kawasan yang menerima amaran termasuk Sarangani, Davao Occidental, Tawi-Tawi, Sulu, Basilan, Zamboanga del Sur, Zamboanga Sibugay, Sultan Kudarat dan South Cotabato.
Penduduk di kawasan pantai diminta segera berpindah ke kawasan lebih tinggi atau bergerak jauh ke pedalaman.
Gempa susulan berukuran 6.1 magnitud turut direkodkan selepas gempa utama, manakala satu lagi gempa sederhana berukuran 5.3 magnitud berlaku pada tengah hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata gempa sederhana itu berlaku pada kedalaman 70 kilometer kira-kira 155 kilometer barat laut Kepulauan Talaud, Indonesia.
Gegaran gempa turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah termasuk Tawau dan Semporna.
Filipina terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktif gempa bumi dan gunung berapi yang mengelilingi Lautan Pasifik.
Oktober tahun 2025 lalu, satu gempa kuat di pantai timur Mindanao mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan ratusan lagi. – Agensi berita.
