BERLIN: Pemimpin Perancis dan Jerman telah melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan di negara masing-masing kelmarin selepas gelombang kedua penularan jangkitan koronavirus dikhuatiri 'mengasak' Eropah sebelum ketibaan musim sejuk mulai Disember ini hingga Februari tahun depan.
Akibat daripada perintah itu, pasaran saham sedunia menjunam dek kebimbangan sekatan yang dihadapi ekonomi terbesar Eropah itu boleh menyebabkan kemelesetan terburuk tahun ini.
"Virus ini sedang menular dengan pantas sehingga ramalan paling pesimistik tidak dapat menjangkakannya," kata Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
"Seperti negara jiran kita semua, kita kini ditenggelamkan oleh kepantasan penularan virus ini.
"Kita semua dalam kedudukan yang sama: diserang oleh gelombang kedua yang kita tahu lebih sukar, lebih berbahaya daripada yang pertama.
"Saya telah memutuskan bahawa kita perlu kembali kepada perintah kurungan yang menghentikan penularan virus," katanya lagi.
Di bawah langkah baru Perancis yang akan dikuat kuasakan hari ini, orang ramai dikehendaki duduk di rumah kecuali untuk membeli keperluan harian asas, mendapatkan rawatan perubatan, atau bersenam selama sejam sehari.
Mereka dibenarkan bekerja jika majikan mereka mendapati mustahil bagi mereka bekerja dari rumah.
Sekolah akan kekal dibuka.
Dalam kegelapan waktu musim bunga, sesiapa yang meninggalkan rumah mereka di Perancis kini perlu membawa satu dokumen yang memberi seseorang itu izin berada di luar rumah, yang akan diperiksa oleh polis.
Jerman akan menutup bar, restoran dan panggung antara 2 November dengan 30 November ini di bawah perjanjian yang dipersetujui Cancelor Angela Merkel dan ketua pemerintah wilayah.
Sekolah akan dibuka dan kedai akan dibenarkan beroperasi dengan had kemasukan yang ketat.
"Kami akan mengambil tindakan sekarang. Sistem kesihatan kami masih boleh menanggung cabaran ini sekarang tetapi melihat pada kepantasan penularan jangkitan, ia akan mencapai had sepenuhnya dalam masa beberapa minggu," ujarnya.
Menteri Kewangan Jerman, Encik Olaf Scholz, menulis di Twitter:
"November akan menjadi bulan yang mengetengahkan kebenaran. Peningkatan jumlah jangkitan telah memaksa kami mengorak langkah ketat bagi memutuskan gelombang kedua."
Perancis menyaksikan peningkatan melebihi 36,000 kes baru sehari.
Jerman, yang kurang terjejas berbanding jirannya awal tahun ini, juga menyaksikan peningkatan besar kes baru.
Di Amerika Syarikat, satu gelombang baru jangkitan telah mencatat rekod dalam masa lima hari sebelum berlangsung Pilihan Raya Presiden.
Presiden Donald Trump dilihat tidak memperbesar penularan yang berlaku dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan membatalkan rapat pilihan raya dengan penyokongnya selalu enggan memakai pelitup atau mengamalkan jarak selamat.
Timbalan Perdana Menteri Russia, Cik Tatiana Golikova, menyatakan kelmarin bahawa 90 peratus katil hospital di 16 wilayah negara itu telah penuh, sedang pegawai memberi amaran sistem kesihatan yang dilengkapi dengan baik seperti di Perancis dan Switzerland akan mencapai kepadatan dalam beberapa hari lagi.
Laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan sehingga Selasa lalu, Eropah melaporkan 1.3 juta kes baru dalam masa tujuh hari, hampir separuh daripada 2.9 juta yang dilaporkan di serata dunia, dengan lebih 11,700 kematian dicatatkan, peningkatan 37 peratus daripada minggu sebelumnya. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg