JAKARTA: Seorang pengawal trafik udara berusia 21 tahun terus menjalankan tugasnya ketika gempa bumi sekuat 7.5 pada skala Richter melanda Palu, ibu kota Sulawesi Tengah, pada Jumaat (28 Sep) - hingga beliau sendiri terkorban. Encik Anthonius Gunawan Agung, kakitangan perkhidmatan navigasi penerbangan AirNav Indonesia di cawangan Palu, pengawal trafik udara (ATC) bertugas di lapangan terbang Mutiara SIS Al-Jufrie semasa bencana itu.
"Apabila gempa itu melanda, beliau baru saja meluluskan penerbangan Batik Air untuk berlepas dan menunggu pesawat itu selamat di udara sebelum akhirnya beliau meninggalkan menara kabin ATC," kata jurucakap AirNav Indonesia, John Harry Sirait, kepada pemberita pada Sabtu, lapor akhbar The Straits Times dalam talian.
Selepas penerbangan tersebut berlepas, Encik Anthonius terperangkap dan terpaksa terjun dari menara setinggi empat tingkat itu apabila gegaran semakin kuat.
Beliau mengalami patah kaki dan kecederaan dalaman lain dan meninggal dunia ketika menunggu dipindahkan oleh helikopter.
Dalam pada berasa sedih atas kematian seorang rakan sekerja, Encik Yohanes mengucapkan takziah kepada mangsa lain gempa itu, yang berpusat di Donggala, sebuah daerah di Sulawesi Tengah.
Encik Yohanes berkata mayat Encik Anthonius akan diterbangkan ke Makassar, dan kemudian ke kampung halamannya di Abepura, Papua.
Encik Anthonius antara hampir 50 orang yang terbunuh dalam gempa itu, yang turut mencetuskan tsunami setinggi tiga meter yang menghancurkan beribu-ribu bangunan di wilayah tersebut.
Kerajaan Jakarta sedang berusaha untuk menghantar bantuan ke kawasan terjejas, tempat hampir 400 orang cedera, sedang sejumlah mayat masih sedang ditemui.
Dr Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap ketua agensi pengurusan bencana Indonesia (BNPB), berkata jumlah korban mungkin meningkat kerana mayat yang tergelempang di pantai belum dikira, dan lebih banyak mayat dijangka ditemui dalam puing bangunan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg