JAKARTA: Hutang Cik Nadhea Putri yang semakin meningkat bermula dengan pembelian telefon bimbit.
Cik Putri yang menetap di Kuala Kapuas, Kalimantan Tengah, kira-kira 1,600 kilometer dari Jakarta, sudah berbulan-bulan mengimpikan untuk menaik taraf telefon bimbit model baru tetapi tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi.
Awal 2024, mahasiswi universiti berusia 21 tahun itu menyedari pilihan ‘beli sekarang, bayar nanti’ (BNPL) yang ditawarkan di halaman pembayaran beli-belah dalam talian kegemarannya.
Beliau mengambil masa kurang 24 jam untuk mengaktifkan kaedah pembayaran, dan telefon – yang berharga hampir lima kali ganda pendapatan bulanannya – akhirnya menjadi miliknya pada Februari.
Lebih empat bulan kemudian, Cik Putri masih bertungkus lumus untuk membayar balik bakinya, bersama dengan kadar faedah yang semakin meningkat.
“Saya terlalu takut untuk menggunakan telefon baru saya sekarang,” akui Cik Putri kepada Al Jazeera, meminta menggunakan nama samaran bagi melindungi identitinya.
“Setiap hari pemungut hutang menghubungi saya lebih 20 kali. Saya berasa takut, tetapi saya tidak boleh memberitahu ibu bapa saya. Saya tidak mahu membebankan mereka,” ujarnya.
Inflasi yang meningkat, ditambah dengan penurunan dalam pendapatan boleh guna, telah mendorong berjuta-juta rakyat Indonesia ke arah skim BNPL dalam tempoh 12 bulan lalu.
Penganalisis menjangkakan penerimaan terhadap BNPL akan terus berkembang di pasaran Indonesia dengan bilangan pengguna yang terjebak dalam belenggu hutang juga meningkat dengan pantas.
Pasaran e-dagang yang berkembang pesat dan populasi besar negara itu adalah antara pemacu pertumbuhan utama bagi pasaran BNPL.
Faktor-faktor itu akan terus menyokong pertumbuhan pasaran pada 2024.
Di Asia Tenggara, Indonesia dijangka menerajui pertumbuhan serantau industri BNPL dalam tempoh dua tahun akan datang.
Secara keseluruhannya, penganalisis mengekalkan prospek pertumbuhan yang teguh untuk industri di Indonesia daripada perspektif jangka pendek hingga sederhana.
Skim BNPL yang kini berkembang di Indonesia menyaksikan pengguna di republik itu terjerut dengan hutang yang semakin meningkat, lapor Research And Markets.com.
Di Asia Tenggara, semakin ramai pengguna dalam talian dan menggunakan telefon pintar.
Ini ditambah dengan pasaran beli-belah dalam talian yang semakin berkembang di rantau ini dan dalam masa yang sama menyaksikan ramai yang tidak mempunyai akses kepada akaun bank tradisional telah mewujudkan persekitaran pertumbuhan firma BNPL, lapor Yahoo Finance.
Menurut laporan International Data Corporate, Indonesia akan membentuk sehingga 58 peratus daripada semua perbelanjaan BNPL di platform e-dagang menjelang 2025.
Malah BNPL semakin popular – bukan sahaja di Indonesia, malah di rantau lebih luas.
Menurut laporan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Singapura (LKYSPP) pada Februari 2024, unjuran pertumbuhan pasaran BNPL di Asia Tenggara adalah AS$33.6 bilion ($45 juta) menjelang 2027.
Perluasan skim itu didorong oleh akses yang lebih mudah dan populariti perkhidmatan yang semakin berkembang, lapor The Jakarta Post.
Berdasarkan data Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK) Indonesia, hutang pengguna yang ditanggung melalui skim BNPL meningkat kepada 6.13 trilion rupiah (menyamai hampir $516 juta) setakat Mac 2024, meningkat 23.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
“Gabungan unik rantau ini, terdiri daripada populasi besar yang tidak mempunyai akaun bank dan peningkatan kebolehcapaian Internet, menjadikannya lubuk untuk penggiat BNPL,” lapor OJK.
OJK mengaitkan lonjakan itu berpunca daripada kemudahan relatif akses bagi perkhidmatan BNPL berbanding kad kredit tradisional, menjadikannya lebih mudah bagi pengguna untuk mengakses kredit.
Tidak seperti kaedah pembayaran tradisional, BNPL menawarkan pengguna alternatif kepada pembayaran pendahuluan tanpa menggunakan kad kredit.
Ia juga berfungsi sebagai pilihan pembiayaan jangka pendek untuk transaksi tertentu, membolehkan pengguna membuat pembelian dan menangguhkan pembayaran.
Bagaimanapun apabila BNPL mendapat tempat, ia disusuli dengan kebimbangan.
Sebagai contoh, sesetengah pengguna mendapati diri mereka terjerat dalam rangkaian pembelian dan hutang.
Perkhidmatan BNPL yang tidak dikawal boleh mendedahkan pengguna kepada risiko menanggung hutang di luar kemampuan mereka, kata laporan LKYSPP itu.
Ia juga menyatakan BNPL menjadi sangat popular dalam kalangan generasi muda, iaitu Gen Z dan milenium.
Di Indonesia, milenium membentuk kumpulan terbesar pengguna BNPL, yang terdiri daripada lebih 52 peratus penghutang atau hampir 7 juta penghutang sebulan, lapor media tempatan, Bisnis.com, yang memetik biro kredit swasta Indonesia, IDScore.
Mereka diikuti Gen Z dengan 35 peratus penghutang atau purata 4.6 juta penghutang sebulan.
OJK Indonesia meneroka rangka kerja kawal selia yang disesuaikan dengan perkhidmatan BNPL untuk memastikan pertumbuhan mampan dan perlindungan pengguna.
Pada April, Timbalan Pesuruhjaya OJK bagi penyeliaan institusi pembiayaan, Encik Jasmi, berkata terdapat keperluan untuk peraturan seimbang yang menyokong pertumbuhan industri dan pada masa yang sama, menjaga kepentingan awam.
“OJK sedang menjalankan kajian mengenai BNPL, termasuk sama ada ia memerlukan peraturan khusus atau am,” kata Encik Jasmi, seperti dipetik portal berita, Antara.
Sementara itu, Presiden Pengarah Institut Pembangunan Perbankan Indonesia (LPPI), Encik Heru Kristiyana, mengakui peranan BNPL dalam memupuk pertumbuhan ekonomi tetapi menekankan pentingnya peraturan berhemat untuk mengurangkan potensi risiko kepada masyarakat.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai risiko pembiayaan, OJK berkata ia menjangkakan pertumbuhan dalam penggunaan BNPL apabila lebih ramai orang menyertainya.
Ketua Eksekutif OJK yang menyelia institusi pembiayaan, firma modal teroka dan institusi kewangan mikro, Encik Agusman, memberitahu media tempatan, Kumparan.com, dengan berkata:
“Prestasi dan pertumbuhan syarikat pembiayaan BNPL diunjurkan terus meningkat seiring dengan perkembangan teknologi yang memudahkan orang ramai melakukan transaksi beli-belah dalam talian.”
Menonjolkan daya tahan sektor itu, beliau menambah syarikat pembiayaan kekal komited terhadap model berkenaan.
Beberapa bank utama, termasuk BCA, Mandiri, BNI, CIMB Niaga dan Allo Bank, telah menyepadukan perkhidmatan BNPL ke dalam penawaran mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg