SOLO (Jawa Tengah): Mayor Solo, Encik Gibran Rakabuming Raka, telah menjawab laporan terhadapnya; Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang juga bapanya; Ketua Mahkamah Perlembagaan, Encik Anwar Usman; dan Ketua PSI, Encik Kaesang Pangarep, yang difailkan oleh Pasukan Pertahanan Demokrasi Indonesia (TPDI) kepada Suruhanjaya Pemberantasan Korupsi ( KPK).
Laporan itu berkaitan dakwaan terdapat pakatan sulit dan nepotisme berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan mengubah syarat umur minimum bagi menyertai Pilihan Raya Presiden Indonesia.
“Biar KPK susul,” katanya bersahaja ketika ditemui media di Balai Kota Solo, Jawa Tengah, pada Selasa.
Ketika ditanya mengenai keputusan kontroversi mahkamah itu dan ramai orang tidak menyokong pencalonannya sebagai naib presiden, Encik Gibran berkata orang ramai boleh membuat pertimbangan mereka sendiri.
“Biar rakyat menilai. Saya serahkan perkara ini kepada rakyat untuk menilai,” ujar beliau.
Sebaliknya, beliau berkata pemerintah Solo sedang membuat persiapan bagi Piala Dunia B-17 di Stadium Manahan Solo.
Kejohanan bola sepak remaja antarabangsa itu akan diadakan pada November-Disember.
“Persediaan untuk Piala Dunia B-17 sudah dijalankan. Pada masa ini, Fifa (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) telah pun berada di sana (Stadium Manahan).
“Kami telah menyediakan segala-galanya kerana ia akan bermula tidak lama lagi,” kata Encik Gibran, petik akhbar Tempo. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg