Topik diikuti
Pergi ke BHkuGibran dilapor letak jawatan sebagai Naib Presiden Indonesia
Gibran dilapor letak jawatan sebagai Naib Presiden Indonesia
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, dilaporkan telah meletak jawatan sehari selepas berikrar untuk mencabar keputusan mahkamah yang menimbulkan keraguan terhadap kelayakan akademiknya dan kelayakannya memegang jawatan,
“Ya, benar,” kata ketua sebuah kumpulan sukarelawan yang menyokong bapa Gibran, mantan Presiden Joko Widodo, Encik Budi Arie Setiadi, kepada The Straits Times (ST) pada 11 November apabila ditanya mengenai laporan bahawa Encik Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Prabowo Subianto.
Peletakan jawatan itu berlaku selepas 120 Anggota Parlimen daripada kesemua lapan parti politik di Parlimen mengemukakan usul menyatakan pendapat terhadap beliau pada 11 November, sekali gus menjadi langkah rasmi pertama ke arah proses pemecatan.
Usul itu dijadualkan untuk diluluskan dalam sidang pleno pada 12 November, sebelum berita mengenai peletakan jawatan Encik Gibran tersebar.
Perkembangan itu merupakan perubahan mendadak bagi seorang ahli politik yang menjadi naib presiden termuda Indonesia kurang dua tahun lalu, hasil populariti Encik Joko Widodo.
Sepanjang memegang jawatan naib presiden, Encik Gibran berdepan pelbagai kontroversi, daripada keputusan Mahkamah Perlembagaan yang mencetuskan pertikaian dan membuka laluan kepada beliau untuk bertanding, sehinggalah persoalan mengenai kelayakan pendidikannya.
Kini, masa depan politiknya tidak menentu apabila pertikaian undang-undang dan percaturan politik mengancam untuk menamatkan tempoh perkhidmatannya lebih awal.
Kelayakan Encik Gibran untuk bertanding sebenarnya telah dipersoalkan sebelum beliau memegang jawatan itu lagi.
Beliau berusia 36 tahun ketika pendaftaran calon dibuka pada 2023, sedangkan undang-undang pilihan raya menetapkan bahawa calon perlu berusia sekurang-kurangnya 40 tahun.
Namun, pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Perlembagaan melalui keputusan kontroversi dengan majoriti tipis 5-4 memutuskan bahawa individu berusia bawah 40 tahun boleh bertanding sekiranya pernah dipilih sebagai ketua wilayah.
Keputusan itu dibuat oleh mahkamah yang ketika itu diketuai Encik Anwar Usman, ipar kepada Encik Jokowi dan bapa saudara Encik Gibran melalui perkahwinan.
Beliau kemudian disingkirkan daripada jawatan Ketua Hakim Negara selepas didapati tidak menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Encik Gibran, yang dipilih sebagai Datuk Bandar Surakarta pada 2020, memenuhi syarat berkenaan.
Beberapa hari kemudian, Encik Prabowo menamakan Encik Gibran sebagai calon naib presidennya.
Antara dokumen yang diserahkan pasangan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Umum pada 25 Oktober 2023 ialah sijil kesetaraan pendidikan sekolah menengah Gibran.
Dokumen tersebut kini menjadi tumpuan kontroversi, meskipun kesahihannya tidak dipersoalkan ketika itu.
Pasangan Prabowo-Gibran memenangi pilihan raya 2024 dengan majoriti besar, memperoleh 58.8 peratus undi.