Topik diikuti
Pergi ke BHkuGIC, Temasek nafi desak penyedia indeks turunkan taraf pasaran saham Indonesia
GIC, Temasek nafi desak penyedia indeks turunkan taraf pasaran saham Indonesia
Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (GIC) dan syarikat pelaburan milik negara, Temasek, menolak dakwaan mereka atau kakitangan mereka mendesak penyedia indeks antarabangsa Morgan Stanley Capital International (MSCI) supaya mempertimbangkan penurunan taraf klasifikasi pasaran saham Indonesia.
Penafian itu dibuat susulan tuduhan pada 20 Oktober oleh mantan Menteri Perdagangan Indonesia, Encik Muhammad Lutfi, bahawa kedua-dua pelabur itu memaksa MSCI mempertimbangkan penurunan taraf Indonesia.
Mantan menteri itu mendakwa penurunan taraf boleh mencetuskan panik pasaran dan membuka peluang untuk membeli ekuiti Indonesia pada harga yang lebih rendah.
Jurucakap GIC memberitahu The Straits Times (ST): “Keputusan pelaburan kami tidak didorong oleh klasifikasi indeks atau pandangan menyeluruh tentang sesebuah pasaran.
“Sebaliknya, ia berdasarkan asas syarikat dan aset.
“Kami telah melabur di Indonesia lebih 30 tahun merentasi pelbagai kelas aset, dan akan terus melabur di mana-mana kami menemui peluang yang baik, berasaskan penilaian syarikat satu demi satu dan setimpal dengan risiko.”
Ketua Asia Pasifik tidak termasuk China dan India di Temasek Global Investments, Encik Fock Wai Hoong, berkata dakwaan itu “tiada asas dan jelas tidak benar”.
“Tiada sesiapa daripada Temasek – sama ada institusi ini mahupun individu yang bekerja untuknya – pernah menghubungi MSCI untuk mempengaruhi mana-mana keputusan yang pernah mereka buat tentang mana-mana bursa di rantau ini.
“Mungkin setakat itu sahaja yang saya katakan,” katanya.
Encik Fock menjawab pertanyaan media pada pelancaran laporan e-Conomy SEA 2026 di pejabat Google di Mapletree Business City pada 21 Oktober.
Presiden pengarah Bursa Saham Indonesia (IDX), Encik Jeffrey Hendrik, mempertahankan kebebasan MSCI pada 20 Oktober susulan dakwaan itu.
“Kami sentiasa percaya, dan terus percaya, bahawa penyedia indeks global bersifat bebas,” kata Encik Jeffrey kepada wartawan di bangunan IDX di Jakarta.
Kontroversi itu timbul selepas pasaran mencatat jualan besar-besaran selama dua hari, yang terbesar pernah dicatat, berikutan amaran MSCI pada 15 Oktober tentang kemungkinan Indonesia dikeluarkan daripada indeks globalnya.
Antara kebimbangannya ialah pemilikan saham yang tidak telus, dagangan orang dalam dan penguatkuasaan peraturan.
Setiap tahun, MSCI menilai semula semua pasaran saham di seluruh dunia bagi menentukan sama ada ia tergolong dalam kategori pasaran maju, pasaran sedang membangun, pasaran sempadan atau pasaran tersendiri.
Penilaian itu berdasarkan perkembangan ekonomi, saiz pasaran, kecairan dan kebolehcapaian.
MSCI telah melancarkan perundingan tentang sama ada Indonesia patut diturunkan daripada pasaran sedang membangun kepada pasaran tersendiri.
Langkah itu boleh menjadi tamparan besar bagi negara tersebut kerana sahamnya akan dikecualikan daripada indeks yang digunakan oleh pelabur.
Sebarang pertukaran kepada klasifikasi boleh membawa kesan besar kepada ekuiti Indonesia, termasuk aliran pelaburan daripada dana yang menjejaki indeks MSCI.
Indeks itu digunakan secara meluas sebagai penanda aras bagi memantau pelbagai pasaran global.
Langkah penyedia indeks itu menunjukkan bahawa kebimbangannya tidak terhad kepada saiz pasaran atau kecairan, tetapi berkaitan isu yang lebih asas, iaitu integriti dan kredibiliti mekanisme dagangan, kata Eastspring Investments, perniagaan pengurusan aset milik Prudential.