Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS gigih tingkat usaha elak penularan Covid-19 musim dingin dan perayaan

Dec 15, 2021 | 5:30 AM
DEMI KESIHATAN DIRI: Orang ramai dilihat beratur di pondok ujian Covid-19 di daerah Manhattan, New York City, Amerika Syarikat, pada 13 Disember lalu. - Foto REUTERS
DEMI KESIHATAN DIRI: Orang ramai dilihat beratur di pondok ujian Covid-19 di daerah Manhattan, New York City, Amerika Syarikat, pada 13 Disember lalu. - Foto REUTERS -

NEW YORK: Amerika Syarikat kini melakukan pelbagai cara bagi menangani pandemik Covid-19 sedang negara seramai 329.5 juta penduduk itu menghadapi musim sejuk dan perayaan Krismas dan tahun baru.

Di New York umpamanya, ia kini menghendaki orang ramai di seluruh negeri itu memakai pelitup semasa berada dalam bangunan.

Pada masa sama, Massachusetts menghantar alat ujian Covid-19 secara percuma ke rumah di kawasan-kawasan termiskinnya.

Negeri di timur laut Amerika, Maine, pula telah mengerahkan anggota tentera kebangsaan untuk membantu di hospital, sedang para pegawai berusaha pelbagai cara untuk mengekang penularan Covid-19 semasa musim sejuk yang kini menyaksikan bilik kecemasan melimpah-ruah dengan pesakit dan kadar jangkitan melonjak.

Kemasukan pesakit Covid-19 mencatat peningkatan 14.4 peratus merentas negara bagi minggu berakhir 9 Disember lalu, menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat.

Sementara itu di Washington, seramai 27 anggota tentera udara Amerika ditamatkan perkhidmatan kerana enggan menerima vaksin Covid-19.

Tindakan itu dipercayai pertama kali dilakukan terhadap anggota tentera yang aktif bertugas.

Pentagon menjadikan vaksin Covid-19 sebagai perkara wajib bagi anggota perkhidmatan yang aktif bertugas sejak Ogos lalu dan sebahagian besar tentera telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Jurucakap tentera udara, Cik Ann Stefanek, berkata tentera diberi peluang untuk menjelaskan mengapa mereka enggan mendapatkan vaksin, tetapi tiada seorang pun daripada mereka diberi pengecualian.

Kira-kira 97 peratus kakitangan tentera udara divaksin, kadar itu jauh lebih tinggi berbanding populasi Amerika.

Pasukan tentera udara Amerika mempunyai kira-kira 326,000 kakitangan yang aktif bertugas.

Secara keseluruhan, 79 anggota tentera beruniform di semua peringkat perkhidmatan meninggal dunia akibat Covid-19.

Sehingga Ahad, Amerika merekodkan 800,000 kematian berkaitan Covid-19 ketika negara bersiap sedia menghadapi potensi lonjakan jangkitan berikutan lebih banyak masa dihabiskan di rumah dengan cuaca lebih sejuk dan varian Omicron yang sangat mudah menular.

Sebelum ini di Los Angeles, hampir 500 kakitangan sekolah awam di di sini telah dipecat kerana enggan mematuhi arahan mendapatkan vaksin Covid-19.

Lembaga Sekolah-sekolah Bersatu Daerah Los Angeles membatalkan kontrak 496 pekerja pada 7 Disember lalu selepas mereka gagal mendapatkan inokulasi menjelang tarikh akhir 15 November lalu, lapor agensi berita LA Times.

Pemangku Penguasa Pelajaran Daerah, Cik Megan Reilly, berkata kakitangan yang enggan divaksin sebelum ini tidak dibenarkan ke sekolah dan sudah diberikan cuti. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg