Guna rampasan dari Marawi untuk rekrut pengganas baru

MARAWI CITY: Pemberontak menjarah wang tunai, emas dan perhiasan bernilai puluhan juta dolar ketika mereka menduduki sebuah bandar selatan Filipina tahun lalu - harta yang salah seorang pemimpin mereka gunakan untuk merekrut sekitar 250 anggota bagi serangan baru.

Tentera Filipina berkata Humam Abdul Najib melarikan diri dari Marawi City, tempat militan itu berharap dapat dijadikan sebagai kubu kuat kumpulan pengganas ISIS di Asia Tenggara, sebelum ia ditawan semula oleh tentera pada Oktober lali, lima bulan selepas pertempuran ganas dan pengeboman udara.

Sejak itu, Humam, yang juga dikenali sebagai Abu Dar, menggunakan harta rampasan yang dijarah dari peti besi bank, kedai dan rumah di Marawi untuk menambat hati budak dan anak muda lelaki di wilayah selatan Lanao del Sur, kata ketua tentera di kawasan itu.

Askar upahan tegar juga dapat dipikat.

Akibatnya, pengikut ISIS tetap menjadi ancaman kuat di Asia Tenggara walaupun ratusan militan terbunuh dalam pertempuran untuk menawan semula Marawi, kata pegawai tentera.

"Pastinya mereka tidak meninggalkan niat mereka mencipta khalifah di Asia Tenggara," kata Kolonel Romeo Brawner, timbalan komander Pasukan Petugas Bersama Marawi.

"Itulah matlamat keseluruhan, tetapi sedang mereka masih berusaha pulih dan bangkit semula - pejuang dan senjata - perkiraan kami ialah mereka akan melancarkan serangan pengganas."

Pada 20 Januari lalu, militan mencederakan lapan askar dalam dua serangan di Lanao del Sur, kata Kolonel Brawner.

Ia pengganasan pertama sejak Marawi ditawan semula tentera.

Pada zaman awal pendudukan Marawi pada Mei tahun lalu, sedang sebahagian pejuang berpakaian hitam membakar gereja, membebaskan banduan dan memotong bekalan kuasa, militan lain menyasarkan bank dan rumah orang kaya, memerintahkan para tebusan supaya membantu melakukan rampasan itu.

"Ia berlaku pada minggu pertama. Mereka membahagikan kami kepada tiga kumpulan dengan tujuh orang setiap kumpulan," kata pekerja pembinaan J.R. Montesa, seorang penganut Kristian, yang ditawan.

Dengan menggunakan bahan letupan, militan meletupkan peti besi di tiga bank utama di bandar itu - Landbank, Bank Nasional Filipina dan Bank Islam Al Amanah Bank, kata Encik Montesa di sebuah bandar berhampiran Marawi.

Mereka dengan mudah menyelinap keluar dari Marawi kerana kawalan keselamatan tidak dilaksana sepenuhnya. Mereka juga merampas barang kemas, kedai pajak dan perniagaan.

Landbank dan Al Amanah tidak menjawab permintaan untuk mengulas. Bank Nasional Filipina berkata ia sedang mendapatkan semula apa yang ia kehilangan.

Sambutan Ramadan sedang menjelang ketika para militan itu menyerang dan bank, perniagaan serta rumah mempunyai lebih banyak wang daripada biasa, kata ketua polis Marawi City, Encik Ebra Moxsir.

Masyarakat Maranao, kumpulan etnik yang menguasai kawasan sekitar Marawi, kebanyakannya Muslim.

"Orang Maranao menyimpan berjuta-juta peso di dalam peti keselamatan di rumah mereka. Emas juga," katanya.

"Menjadi tradisi masyarakat Maranao memberi hadiah wang tunai (semasa Ramadan)."

Encik Montesa berkata van yang dimuatkan dengan rampasan serbuan itu "melimpah', dengan wang dan barang berharga lain disumbat ke setiap celah kenderaan itu. - Reuters.