JAKARTA: Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur, meletus pada malam 3 November, menyebabkan kematian sekurang-kurangnya sembilan orang dan memaksa pihak berkuasa untuk memindahkan penduduk di beberapa kampung berhampiran.
Letusan itu berlaku pada 11.57 malam waktu tempatan, memuntahkan lahar, abu gunung berapi dan batuan pijar ke udara, kata Encik Hadi Wijaya, jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), pada 4 November.
“Selepas letusan, berlaku gangguan bekalan elektrik diikuti hujan lebat dan kilat yang menimbulkan panik dalam kalangan penduduk,” kata Encik Hadi.
Beliau juga memaklumkan bahawa status gunung berapi itu telah dinaikkan ke tahap IV iaitu tahap amaran tertinggi.
“Radius tujuh kilometer mesti dikosongkan demi keselamatan,” tambahnya.
Agensi berita Antara memetik laporan petugas di pos pemerhatian Gunung Lewotobi Laki-Laki, Encik Adzan Anugrah Indiarsyah yang berkata:
“Letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 41.4 milimeter dan berlangsung selama 303 saat.”
Lahar panas dan batuan yang mengalir dari kawah telah mengenai penempatan terdekat sejauh empat kilometer, merosakkan rumah penduduk dan menyebabkan kebakaran.
Encik Heronimus Lamawuran, seorang pegawai tempatan di daerah Flores Timur, memaklumkan bahawa letusan itu telah menjejas tujuh kampung.
“Kami telah mula memindahkan penduduk sejak pagi ini ke kampung-kampung lain yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kawah,” kata Encik Heronimus.
Beliau juga menyatakan bahawa kampung-kampung berhampiran telah diliputi abu gunung berapi yang tebal pada pagi 4 November.
Pihak berkuasa masih mengumpul data tentang jumlah penduduk yang dipindahkan serta kerosakan harta benda akibat letusan tersebut.
PVMBG menasihatkan penduduk yang berada di sekitar gunung terbabit mengelak agar daripada melakukan kegiatan luar dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Indonesia terletak di kawasan lingkaran api Pasifik, kawasan dengan aktiviti seismik yang tinggi disebabkan pertemuan pelbagai plat tektonik.
Letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki ini menyusul beberapa siri letusan gunung berapi lain di negara itu.
Pada Mei, letusan Gunung Ibu di Pulau Halmahera menyebabkan pemindahan penduduk dari tujuh kampung.
Gunung Ruang di Sulawesi Utara juga meletus pada bulan yang sama, memaksa lebih 12,000 orang untuk berpindah.
Banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Merapi di Sumatera Barat pada 11 Mei telah menenggelamkan beberapa daerah berhampiran, serta mengorbankan lebih 60 orang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg