Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia, gunung berapi kedua tertinggi di dunia, ditutup kepada semua kegiatan mendaki gunung selama setahun ekoran gempa bumi di pulau Lombok baru-baru ini, menurut laporan pada Sabtu (8 Sept).
Ketua Taman Negara Rinjani dipetik sebagai berkata ia akan mengambil masa setahun untuk membaiki laluan dan trek gunung yang popular di kalangan pelancong dan pengembara, termasuk dari Singapura.
"Banyak laluan pendakian merekah dan sangat berbahaya bagi pendaki dan mengambil masa kira-kira setahun untuk kerja-kerja membaiki yang perlu dilakukan bagi membolehkan kegiatan mendaki gunung diteruskan," kata pegawai itu, yang dikenali dengan nama tunggal Sudiyono.
Lombok dilanda dua gempa bumi besar pada 29 Julai dan 5 Ogos yang menyebabkan lebih 400 orang terkorban dan lebih 1,000 cedera. Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia, lebih 700 gegaran susulan berlaku di Lombok sejak 5 Ogos.
Seorang wanita Malaysia yang mendaki Gunung Rinjani terbunuh semasa gempa bumi 29 Julai yang turut memerangkap beratus-ratus pengembara lain di gunung berapi. Taman negara seluas 41,330ha itu telah ditutup sejak kejadian tersebut. -- ST
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg