Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gunung semegah Everest turut terjejas oleh Covid-19

Industri pelancongan Nepal dan pendakian gunung tertinggi itu terjejas teruk
May 24, 2021 | 5:30 AM
GUNUNG EVEREST: Sudah terdapat kes pendaki yang mahu mendaki gunung tertinggi dunia itu dijangkiti Covid-19. - Foto AFP
GUNUNG EVEREST: Sudah terdapat kes pendaki yang mahu mendaki gunung tertinggi dunia itu dijangkiti Covid-19. - Foto AFP -

GUNUNG tertinggi dunia, Gunung Everest, tidak terkecuali daripada cengkaman wabak Covid-19.

Ini setelah industri pelancongan Nepal - terletaknya gunung setinggi 8,849 meter itu - terjejas teruk sejak berlakunya pandemik itu pada awal tahun lalu.

Ekoran berlakunya pandemik itu, gunung megah itu terpaksa ditutup kepada pendaki, sekali gus menyebabkan kehilangan ratusan juta dolar dari segi pendapatan.

Tahun ini, pihak berkuasa Nepal telah melonggarkan peraturan kuarantin dalam usaha menarik balik pendaki asing ke negara itu dan telah pun mengeluarkan permit pendakian kepada 400 orang, satu rekod.

Namun gelombang kedua koronavirus yang melanda negara itu telah menggagalkan usaha itu.

Satu permit mendaki Everest sahaja berjumlah AS$11,000 ($14,000) dengan pendaki membayar lebih AS$40,000 bagi keseluruhan kos ekspedisi itu.

Namun, cuaca lebih panas yang boleh menjadikan keadaan lebih selamat untuk mendaki puncak bahaya itu tiba sejajar dengan gelombang kedua jangkitan Covid-19 yang lebih bahaya, dengan kes aktif di negara bersempadankan India itu meningkat enam kali ganda dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Pendaki Norway, Encik Erlend Ness, menghabiskan dua malam tidur di khemahnya di kem induk pada bulan lalu, tidak pasti apa yang membuatnya sakit.

"Saya dipindahkan ke Kathmandu (ibu kota Nepal) dan diuji. Hasilnya saya positif Covid," katanya kepada AFP, menjadi pendaki pertama yang mempunyai permit Everest untuk disahkan mempunyai jangkitan Covid-19.

"Saya fikir saya bukan satu-satunya... Setiap pasukan di kem induk tahu ada risiko Covid dan mereka perlu berhati-hati," katanya.

Seorang pendaki lain, Cik Gina Marie Han-Lee, memutuskan untuk membatalkan ekspedisinya baru-baru ini kerana bimbang wabak itu akan merebak di kawasan sekitar kem induk.

"Saya telah menaiki helikopter untuk keluar dari EBC (kem induk Everest) dan kembali ke Kathmandu setelah satu hari.

"Keadaan Covid di EBC adalah bagai satu ribut besar. Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku," tulis warga Amerika Syarikat itu di Facebooknya baru-baru ini.

"Ia satu keputusan yang menyedihkan tetapi saya mengutamakan kesihatan saya. Covid di tempat tinggi bukan sesuatu yang ingin saya pertaruhkan."

Pegawai di sebuah klinik kesihatan yang memberi tumpuan kepada golongan pendaki mengatakan lebih 30 orang telah diterbangkan dari kem induk dalam beberapa minggu lalu.

Sekurang-kurangnya dua telah disahkan positif Covid-19 apabila kembali ke ibu kota Kathmandu.

Tetapi pemerintah belum lagi mengesahkan satu pun kes Covid-19 di Everest.

Sebab perbezaan ini?

"Ada yang dipindahkan dari EBC mungkin positif di Kathmandu. Mereka tidak melakukan ujian di kem induk, jadi kami tidak pasti di mana mereka dijangkiti," kata ketua jabatan pelancongan Nepal, Rudra Singh Tamang, lapor AFP.

Pakar kesihatan di kem induk mengatakan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menguji penyakit itu.

"Kami mempunyai kebenaran untuk berfungsi hanya sebagai satu klinik, jadi kami tidak mempunyai (alat) ujian di sini.

"Kami telah membuat permintaan tetapi belum ada apa-apa yang berlaku," kata seorang doktor di situ.

Lebih 1,000 orang biasanya berkhemah di pangkalan khemah yang sibuk di kaki Gunung Everest, termasuk pendaki asing dan pasukan pemandu Nepal yang membantu mereka ke puncak.

Namun kesibukan dan keriuhan biasa itu tidak wujud pada tahun ini setelah kumpulan ekspedisi diminta tidak bercampur dengan kumpulan lain dan selalu mematuhi jarak selamat.

"Kami mengambil semua langkah pencegahan untuk memastikan tidak ada berlakunya jangkitan," kata Tashi Sherpa dari Seven Summit Treks, agensi pendakian terbesar di Everest.

"Kami tidak mengunjungi khemah lain, malah kumpulan-kumpulan dalam kawasan khemah sama juga tidak bercampur."

Nepal melaporkan kira-kira 400,000 kes jangkitan dan 3,800 kematian, dengan bilangan yang meninggal dunia melonjak tinggi sejak beberapa minggu lalu.

Sistem kesihatan di negara itu menghadapi masalah untuk menangani lonjakan kes jangkitan yang mendadak, dengan hospital diisi dengan pantas sementara saudara-mara pesakit berebut ubat dan tempat rawatan intensif.

Sementara itu, pendaki di gunung di tempat lain juga menghadapi masalah serupa dengan berlakunya beberapa kes jangkitan Covid-19.

Satu ekspedisi di Dhaulagiri, gunung ketujuh tertinggi di dunia yang juga terletak di Nepal, menghadapi masalah setelah sekurang-kurangnya tiga anggota diuji positif Covid-19.

Sembilan telah dibawa ke tempat selamat dengan yang lain sedang diuji, kata ketua ekspedisi mereka.

Pernafasan memang sudah sukar di tempat tinggi sehingga sebarang penularan koronavirus dalam kalangan kumpulan pendaki akan menimbulkan risiko kesihatan yang serius.

Selain itu, memindahkan pendaki yang sakit daripada puncak terpencil menimbulkan cabaran logistik yang besar.

"Kami sangat takut, ada banyak khabar angin dan kami tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku," kata Harshvardhan Joshi, seorang pendaki dari India yang berharap dapat mendaki di Gunung Everest.

"Apa yang akan berlaku jika seseorang menunjukkan gejala (Covid-19) setelah sampai di kem yang lebih tinggi?"

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg