Topik diikuti
Pergi ke BHkuGunung Sinabung meletup, Indonesia terus berdebar
GUNUNG Sinabung di Indonesia meletup pada awal Mei meluahkan banyak kepulan asap dan abu yang mencapai ketinggian 2,800 meter.
Kejadian letupan gunung berapi itu merupakan yang kedua terbesar tahun ini sejak Mac lalu.
Malah, Indonesia juga mengalami sekurang-kurangnya satu lagi letupan besar pada Februari lalu apabila Gunung Merapi, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, meletup pada bulan itu.
Gunung Sinabung, terletak di wilayah Sumatera Utara, ketika letupan terbaru itu telah menyemburkan abu dan bahan gunung berapi pada awal pagi dengan letupan berlangsung hampir enam minit, kata sebuah agensi geologi tempatan.
Gambar menunjukkan kepulan abu tebal dimuntahkan dari bahagian dalam gunung itu ke arah timur.
Tiada arahan pemindahan besar-besaran dikeluarkan, dan tidak ada gangguan penerbangan yang dilaporkan.
Cuma pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk untuk menjauhi lingkungan lima kilometer dari sekitar kawasan kawah - satu zon yang telah ditinggalkan selama bertahun-tahun sedang kegiatan gunung berapi meningkat.
"Penduduk dan pelancong tidak boleh melakukan kegiatan di sekitar Gunung Sinabung kerana kegiatan gunung berapi tetap tinggi," kata Encik Muhammad Nurul Asrori, seorang pegawai di pos pemantauan Gunung Sinabung kepada AFP, sambil menambah bahawa status amaran gunung berapi tetap tidak berubah pada tahap tiga.
Gunung Sinabung, gunung berapi setinggi 2,460 meter, tidak aktif selama berabad-abad sebelum aktif kembali pada 2010 apabila satu letupan membunuh dua orang.
Selepas satu tempoh tidak aktif lagi, ia meletus lagi pada 2013 dan terus aktif sejak itu.
Pada tahun berikutnya, letupan gunung itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 16 orang, sementara tujuh mati dalam letupan 2016.
Indonesia - satu negara kepulauan dengan lebih 17,000 pulau besar dan pulau kecil - mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif.
Indonesia terletak di kawasan Lilitan Api Pasifik - kawasan tektonik yang ditaburi gunung berapi dan kerap mengalami pergerakan bumi - yang mengelilingi Lautan Pasifik.
Sementara itu, Gunung Merapi, yang terletak berhampiran bandar Yogyakarta di Pulau Jawa, meletup pada Februari lalu, meluahkan lahar merah yang berapi-api.
Dalam kejadian itu, ia memuntahkan lahar sebanyak lebih 20 kali dalam tempoh dua hari sahaja, menyebabkan ratusan gempa gunung berapi kecil, menurut laporan agensi geologi Indonesia.
Pemuntahan lahar juga dilihat berlaku sebanyak tujuh kali, ujar agensi itu.
Namun, amaran rasmi mengenai status gunung berapi itu tidak berubah pada tahap kedua tertinggi, di mana ia masih kekal sejak November 2020.
Penduduk berdekatan dimaklumkan supaya mengelak kawasan dalam lingkaran lima kilomter dari kawah dan diberi amaran mengenai lahar serta bahan gunung berapi yang dikeluarkan ke udara.
Sebelum itu, gunung itu juga meletup dan memuntahkan kepulan asap dan abu yang besar.
Letupan besar terakhir Gunung Merapi berlaku pada 2010 mengorbankan lebih 300 orang dan memaksa pemindahan sekitar 280,000 penduduk dari kawasan berdekatan.
Kejadian itu adalah letupan paling kuatnya sejak 1930, apabila sekitar 1,300 orang terbunuh, sementara letupan lain pada 1994 mengorbankan sekitar 60 nyawa.
GUNUNG BERAPI DI INDONESIA
MENGAPA INDONESIA TERDEDAH KEPADA GEMPA BUMI DAN LETUPAN GUNUNG BERAPI?
- Indonesia merupakan satu kawasan kepulauan luas yang terletak di kawasan Lilitan Api Pasifik (Pacific 'Ring of Fire') yang mengelilingi Lautan Pasifik.
Lilitan itu merentasi sejauh 40,000 kilometer dari New Zealand, ke Papua New Guinea, Indonesia, Filipina dan Jepun, hingga ke Alaska, Amerika Syarikat, Mexico hingga ke hujung selatan Amerika Selatan.
Ia adalah tempat di mana banyak plat tektonik bergeseran dan tempat berlakunya sebahagian besar letupan gunung berapi dunia dan gempa bumi.
Kajian Geologi Amerika Syarikat mengatakan lebih separuh gunung berapi aktif dunia yang berada di atas permukaan laut mengelilingi Lautan Pasifik untuk membentuk Lilitan Api, sementara kira-kira 90 peratus gempa bumi di dunia berlaku di sepanjang lilitan itu.
BERAPA BANYAK GUNUNG BERAPI DI INDONESIA?
- Indonesia mempunyai 127 gunung berapi aktif, dengan tujuh daripadanya kini dalam 'fasa letupan'.
Gunung berapi dianggap tidak lagi dalam fasa letusan apabila ia tidak aktif selama tempoh tiga bulan.
Anak Krakatau adalah antara gunung berapi yang kini berada dalam 'fasa letupan' dan telah berderam-derum sejak Julai 2018.
Gunung berapi aktif yang lain termasuk Gunung Soputan di Sulawesi Utara.
