
LONDON: Sebilangan guru akan menyertai ratusan ribu pekerja di United Kingdom untuk melancarkan mogok, sedang pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Rishi Sunak menghadapi kemelut pergolakan pekerja yang menuntut kenaikan gaji bagi menampung keadaan inflasi yang semakin meningkat.
Kesatuan Sekerja Pendidikan Kebangsaan (NEU) mengumumkan semalam hasil pengundian untuk melancarkan mogok tersebut.
Setiausaha Agung NEU, Cik Mary Bousted, berkata beliau "yakin mogok akan dilancarkan bulan depan".
"Kami telah memaklumkan kepada kerajaan supaya kembali ke meja rundingan," kata Cik Bousted.
"Anggota kesatuan kami tidak bahu melancarkan mogok, tetapi terdorong gara-gara kerajaan mengabaikan tuntutan kami," ujarnya.
Perkembangan itu akan memberi tekanan ke atas Encik Sunak, yang sudah pun terancam oleh tindakan mogok jururawat, pemandu ambulans dan pekerja kereta api.
Mogok guru itu kelak akan meninggalkan kesan lebih meluas terhadap tenaga kerja, kerana ibu bapa terpaksa berada di rumah untuk menjaga anak mereka yang tidak pergi ke sekolah.
Jururawat telah merancang satu tindakan mogok besok dan lusa, dengan pemandu ambulans pula akan melancarkan mogok minggu depan.
Pada 1 Februari, sekitar 100,000 kakitangan awam akan menyertai tindakan mogok itu.
Kesatuan guru-guru itu mendakwa kenaikan gaji 5 peratus yang ditawarkan itu tidak dapat memenuhi keperluan kos sara hidup mereka gara-gara inflasi yang telah mencapai 10 peratus.
Tetapi kerajaan parti Konservatif berpandangan kenaikan gaji lebih tinggi akan hanya memicu kepada inflasi lebih buruk.
Pentadbiran Encik Sunak memicu lebih banyak bantahan daripada kesatuan apabila beliau menyarankan pindaan perlembagaan untuk membataskan tindakan mogok dan memastikan perkhidmatan penting di sektor utama dilindungi. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg