PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya 'tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan', demi menjaga kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhan.
Dalam satu kenyataan semalam, presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata adalah penting semua pihak menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.
Beliau menambah bahawa PAS turut menegaskan akan memelihara kestabilan politik dan ekonomi dalam negara.
"PAS menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung secara harmoni.
"Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," ujarnya.
Tan Sri Abdul Hadi berkata demikian tatkala muncul kandungan sensitif dan menyentuh sentimen perkauman yang dimuat naik sesetengah pengguna media sosial menyusuli keputusan PRU15.
Awal dari itu, beliau turut menggalak sikap toleransi dan saling menghormati untuk hidup sebagai sebuah keluarga besar, walaupun berbilang bangsa, berbeza agama dan berlainan budaya. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg