Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hadi: Pas ambil pendekatan tunggu dan lihat

May 28, 2015 | 5:28 PM
DI AMBANG PERPECAHAN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku kepada pihak pakatan pembangkang jika parti sekutu itu berpecah. - Foto BERITA HARIAN
DI AMBANG PERPECAHAN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku kepada pihak pakatan pembangkang jika parti sekutu itu berpecah. - Foto BERITA HARIAN -

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Agama SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya akan mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kesudahan kemelut yang semakin meruncing antara parti itu dan DAP.

Datuk Seri Abdul Hadi berkata, pendekatan itu kerana PAS sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku kepada pihak pakatan pembangkang jika parti sekutu itu berpecah, sebaliknya menganggap isu itu akan selesai apabila masanya tiba nanti.

"Saya tak boleh sebut perkara akan datang. Dia (DAP) tak tahu hati saya dan saya tak tahu hati dia, jadi saya tak jawab soalan 'kalau' dan apa akan terjadi.

"Cara terbaik untuk selesai kemelut ini adalah tunggu dan lihat...buat masa ini saya ingin menumpukan kepada pemilihan Muktamar PAS," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ditanya adakah PAS bersedia untuk keluar daripada pakatan pembangkang Abdul Hadi berkata parti itu sebelum ini pernah bersendirian di dalam kerajaan dan di luar kerajaan.

"Bagaimanapun biasanya peristiwa lama tidak akan berulang. Konsep kita mesti bersama masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak boleh bersendirian.

"Buat masa sekarang PAS masih bersama Pakatan, saya masih di kerusi sama, tapi saya tak tahu perkara akan datang," kata Abdul Hadi.

Ahad lepas, Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang dilapor membayangkan tiga parti komponen dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, tidak akan wujud lagi dalam tempoh dua minggu, sekali gus menggambarkan pakatan itu kini di ambang perpecahan.

Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Encik Lim Guan Eng meminta Datuk Seri Abdul Hadi keluar dari pakatan pembangkang jika mahu meneruskan hasrat membentangkan Rang Undang-undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat. - BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg