Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

RENCANA

Hakikat pahit kekejaman dan dilema kompleks Perang Gaza

Realiti tentang isu Palestin adalah sejarahnya yang panjang di wilayah
yang jarang punya pilihan baik, hanya pilihan buruk dan lebih buruk
Nov 11, 2023 | 02:32 PM



Oleh BILAHARI KAUSIKAN


Serangan pengganas yang ngeri pada 7 Oktober, yang menyaksikan 1,400 jiwa kebanyakannya penduduk awam Israel terbunuh, dan tindak balas yang menyusul terhadap Hamas di Gaza, mengakibatkan beribu-ribu orang awam Palestin terkorban, telah membangkitkan emosi yang kuat dalam kalangan rakyat Singapura.

Sebagai manusia, wajarlah jika berempati. Emosi diperkuat oleh kerumitan isu Palestin. Daripada sejarah yang panjang dan kusut, naratif yang meletakkan semua tanggungjawab pada satu pihak, boleh dibina dengan mudah untuk membangkitkan emosi.

Tetapi Palestin bukanlah kisah moral yang jelas benar atau salah. Naratif bukan analisis dan emosi bukan kepentingan.

Daripada cuba membahagikan tanggungjawab secara sia-sia, sebaliknya kita harus melihat kepada kepentingan kita.

Ucapan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di Parlimen pada 6 November, adalah titik permulaan yang baik.

Ia menyatakan semula prinsip yang mendasari pendirian lama Singapura mengenai Palestin.

Dalam konteks semasa, lima perkara amat penting:

• Sifar toleransi terhadap keganasan dan kutukan keras terhadap serangan pengganas 7 Oktober oleh Hamas;

• Kebimbangan terhadap korban awam, krisis kemanusiaan dan akibatnya, keperluan untuk bantuan tepat pada masanya kepada mereka yang memerlukan;

• Pengesahan semula hak sedia ada Israel untuk mempertahankan diri, menurut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang kemanusiaan dan undang-undang perang;

• Sokongan untuk penyelesaian dua negara yang mengiktiraf hak Israel untuk wujud bersama negara Palestin sebagai satu-satunya pilihan penyelesaian yang bertahan lama kepada konflik; dan

• Tidak membenarkan isu itu memecahbelahkan rakyat Singapura.

Perkara terakhir jelas yang paling penting kepada Singapura.

Hanya beberapa hari sebelum serangan ke atas Israel, pada 4 Oktober, saya menghadiri perayaan Sukkot – salah satu perayaan utama Yahudi – di Maghain Aboth Synagogue di Waterloo Street, rumah ibadah Yahudi tertua yang ada di Singapura sejak 1878.

Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, penaung Pertubuhan Antara Agama (IRO), adalah tetamu kehormat.

Sambutan itu dihadiri bukan sahaja oleh Rabai, malah Mufti Singapura dan pemimpin semua agama – Buddha, Tao, Hindu, Sikh, Kristian pelbagai denominasi, Zoroastrian dan Bahai – dari IRO.

Ini adalah unik. Acara sebegini tidak akan – tidak boleh – diadakan di tempat lain di Asia Tenggara. Saya ragu acara seperti itu mungkin diadakan di mana-mana tempat lain di dunia.

Inilah yang menjadikan Singapura, Singapura. Walau apa pun pendapat individu kami tentang 7 Oktober dan kesudahannya, ini adalah sesuatu yang berharga untuk dipelihara dalam apa jua keadaan. Rakyat Singapura daripada semua agama harus bersatu dengan lima prinsip yang telah saya rumuskan.

Tetapi mempertahankan keunikan kita daripada emosi mentah yang ditimbulkan oleh perang di Gaza juga memerlukan pemahaman lebih mendalam daripada yang boleh disampaikan oleh mana-mana ucapan menteri.

Prinsip semestinya merupakan penyederhanaan realiti, yang jauh lebih kompleks, dan kadangkala keras.

Tiada pemerintah, atas dasar berhemat diplomatik jika tiada yang lain, boleh menyatakan secara terbuka segala yang perlu diperkatakan tentang mengimbangi pertimbangan yang bercanggah dan proses rumit, di mana prinsip mesti mengikut konteks untuk menjadi dasar.

Rakyat Singapura tidak seharusnya menolak kedalaman trauma yang ditimbulkan oleh kebiadaban serangan 7 Oktober: bukan sahaja pembunuhan, malah rogol, penyeksaan, menyebabkan kecacatan, termasuk bayi, dalam beberapa keadaan yang dirakam dalam video oleh kamera pihak pengganas yang terbunuh. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku atas apa jua alasan.

Dokumen yang dirakam daripada pengganas yang mati menjelaskan bahawa arahan mereka adalah untuk membunuh seramai mungkin orang dan bukan sebarang objektif ketenteraan.

Israel adalah sebuah negara kecil dan beberapa orang Israel bak hampir dengan mereka yang dibunuh atau dijadikan tebusan.

Kemarahan yang wajar terhadap kekejaman, sudah tentu, tidak membenarkan kelakuan kejam sebagai ganti.

Ucapan menteri itu mengingatkan bahawa “adalah penting bahawa keputusan tidak dibuat atas dasar kemarahan dan kebencian”.

Itu jelas dan saya tidak fikir pemerintah Israel akan berbuat demikian walaupun beberapa tokoh politik Israel bercakap liar dan tidak bertimbang rasa.

Tetapi adalah sama pentingnya bahawa rakyat Singapura memahami matlamat perang Israel.

Mengapa
pencegahan penting?

Ini tentunya bukan perang balas dendam. Untuk mengatakan bahawa Israel menggunakan haknya untuk mempertahankan diri, walaupun benar dan penting, menimbulkan persoalan yang sangat penting: Untuk tujuan khusus apakah, Israel melaksanakan hak itu?

Jawapannya adalah untuk memulihkan pencegahan. Kepentingan ini tidak boleh terlalu ditekankan.

Pada 7 Oktober, pencegahan Israel terhadap Hamas jelas gagal.

Israel mesti memulihkan pencegahan terhadap Hamas dan apa sahaja yang mungkin menggantikannya di Gaza, selepas kepimpinannya kini dimusnahkan.

Lebih penting lagi, Israel mesti memulihkan pencegahan terhadap Iran dan Hezbollah dan kumpulan pengganas lain yang disokong Teheran.

Memulihkan pencegahan adalah isu kewujudan bagi Israel. Pencegahan berdasarkan keunggulan ketenteraan adalah salah satu tunggak di mana hak Israel untuk wujud telah bersandar daripada asasnya.

Pada 1947, Resolusi 181 PBB, mencadangkan penyelesaian dua negara untuk Palestin.

Selepas beberapa kali keberatan menerimanya, orang-orang Yahudi yang hidup di bawah mandat British di Palestin, menerima rancangan PBB. Sementara orang Arab tidak menerimanya.

Pada 14 Mei 1948, Israel mengisytiharkan kemerdekaan. Keesokan harinya, Mesir, Syria, Iraq dan Lebanon menyerang Israel, dengan Arab Saudi dan Yaman menghantar tentera di bawah perintah Mesir. Jordan kemudiannya menyertai perang.

Israel terselamat daripada perang 1948. Tetapi ia mengambil masa dua lagi peperangan, yang dikalahkan oleh Israel, pada 1967 dan 1973, sebelum negara-negara Arab menghadapi realiti dan mengiktiraf secara de facto, jika tidak serta-merta de jure (menurut undang-undang), hak Israel untuk wujud.


Mesir mengiktiraf Israel pada 1979; Jordan menyusul pada 1994. Pada 2020, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan mengiktiraf Israel di bawah Perjanjian Abraham.

Sepanjang dekad lalu atau lebih dari itu, kebanyakan negara Teluk telah menjalin beberapa tahap hubungan dan kerjasama tidak rasmi dengan Israel.

Ini termasuk Arab Saudi, yang telah berunding dengan Amerika Syarikat untuk memulihkan hubungan dengan Israel, sebagai balasan kepada jaminan keselamatan dan membantu program nuklear awamnya.

Syria dan Lebanon secara teknikal, masih berperang dengan Israel. Tetapi Syria adalah sebuah negara gagal yang tidak menguasai sepenuhnya wilayahnya sendiri; dan pada 2022, Lebanon menandatangani perjanjian sempadan maritim dengan Israel, bagi kawasan gas di Mediterranean.

Sebaliknya, kemusnahan Israel tercatat dalam dokumen pengasas Hamas. Kira-kira dua minggu selepas serangan 7 Oktober, pemimpin kanan Hamas, Encik Ghazi Hamad, berikrar bahawa Hamas akan melakukan serangan “berulang kali” untuk “menghapuskan” Israel.

Ditanya sama ada itu bermakna penghapusan Israel, beliau menjawab dengan sederhana: “Ya, sudah tentu.”

Pemimpin Iran sering membuat kenyataan serupa. Terdapat sedikit alasan untuk tidak menerima kata-kata mereka.

Di bawah keadaan ini dan dengan pemulihan pencegahan sebagai isu kewujudan, undang-undang kemanusiaan dan undang-undang perang mengambil kualiti yang agak abstrak sebagai nasihat kesempurnaan.

Namun, saya fikir Israel, untuk mengekalkan sokongan Amerika dan negara-negara utama Eropah, akan menghormati undang-undang kemanusiaan dan undang-undang perang setakat yang difikirkan praktikal.

Frasa terakhir itu – setakat praktikal – adalah kunci. Saya tidak fikir Israel sengaja menyasarkan orang awam sebagai orang awam.

Tetapi Hamas tidak memakai pakaian seragam dan secara rutin mengerahkan dan mengendalikan aset tenteranya di dalam, di bawah dan berhampiran prasarana awam.

Bagi Hamas, korban awam hanyalah satu lagi senjata untuk menafikan hak Israel untuk mempertahankan diri.

Israel menghadapi dilema jahat (saya menggunakan “jahat” dalam erti kata masalah yang mustahil untuk diselesaikan kerana kerumitannya).

Bertindak terlalu berhati-hati berisiko membenarkan pencegahan semakin terhakis. Ini sama sekali tidak boleh diterima.

Dasarnya sebelum ini, untuk menyekat Hamas di Gaza telah gagal, Israel telah mengumumkan hasratnya untuk menghapuskan kepimpinan Hamas untuk menghalang apa sahaja yang akan menggantikannya daripada tindakan pengganas yang serupa.

Tetapi berbuat demikian akan dan telah mengakibatkan kematian orang awam dalam skala besar.

Ancaman pengganas

Kematian orang awam sentiasa dikesali. Tetapi tidak ada sesiapapun yang berasa berkepentingan dan boleh menerima jika ada serangan seperti yang dilakukan Hamas ke atas Israel dan percaya bahawa mereka boleh mengelakkan pembalasan dengan menggunakan taktik yang sama.

Ucapan menteri menjelaskan bahawa pendirian kuat Singapura terhadap keganasan, bukan hanya kerana simpati kepada mangsa di negara lain, malah kerana “keganasan adalah ancaman yang jelas dan untuk Singapura juga”.

Pada 2016, hanya dua tahun selepas Israel melancarkan Operasi Protective Edge terhadap Hamas untuk menghentikan serangan roket dari Gaza, rancangan kumpulan pengganas untuk menembak roket di Marina Bay Sands di Singapura dari Batam, telah digagalkan dengan bantuan pihak berkuasa Indonesia.

Hamas mempunyai kehadiran yang ketara di Malaysia. Pemimpin Malaysia telah bertemu dengan pemimpin Hamas.

Walaupun ia menafikannya, Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia sering disifatkan sebagai pejabat perwakilan untuk Hamas.

Selepas 7 Oktober, terdapat demonstrasi menyokong Hamas dan untuk meraikan apa yang disifatkan sebagai “kemenangan”.

Sebuah sekolah di Malaysia juga menggalakkan kanak-kanak mengacukan pistol mainan untuk meraikan perpaduan dengan Palestin.

Mujur, walaupun rakyat Singapura berperasaan amat mendalam terhadap rakyat Palestin, namun tidak bertindak sehingga meraikan keganasan, dan saya harap mereka tidak akan melakukannya.

Namun, dalam tempoh tiga tahun lalu, dua warga Singapura telah ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mahu pergi ke Gaza untuk berperang bersama Hamas.

Sebagai percubaan kepada pemikiran, bayangkan bagaimana kita harus bertindak balas jika, pada masa akan datang, pengganas yang beroperasi dari kawasan bandar di Johor menembak roket ke arah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan di utara Singapura, atau cuba menembak jatuh pesawat yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Changi?

Memandangkan hala tuju politik Malaysia, bolehkah kita sentiasa bergantung kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menghalangnya?

Penyelesaian dua negara

Dalam jangka panjang, keselamatan Israel mesti, seperti yang dijelaskan oleh ucapan menteri, bergantung pada penyelesaian politik yang menyeluruh, berdasarkan penyelesaian dua negara.

Ini jelas benar. Masalahnya ialah tidak ada laluan jelas untuk penyelesaian sedemikian.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242 (1967) dan 338 (1973), yang disebut dalam ucapan menteri, merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada keamanan yang adil dan berkekalan, berdasarkan pengunduran Israel dari wilayah yang diduduki.

Tetapi kedua-dua resolusi tidak menyebutkan tentang bagaimana ini hendak dicapai.

Timur Tengah adalah wilayah yang jarang ada pilihan yang baik; hanya pilihan yang buruk dan pilihan yang lebih teruk. Isu Palestin adalah di mana dilema paling tajam.

Paradoks kejam yang dihadapi Israel dan Palestin ialah, mana-mana penyelesaian politik mesti bersandarkan kepada asas kestabilan; kestabilan bergantung pada pencegahan yang kuat.

Tetapi selepas 7 Oktober, apa yang perlu dilakukan oleh Israel untuk memulihkan kestabilan melalui pencegahan, akan menyukarkan sebarang laluan menuju penyelesaian, sekurang-kurangnya untuk masa hadapan.

Ia tidak boleh dipandang remeh bahawa hak mutlak Israel, Fatah di Tebing Barat, dan Hamas di Gaza benar-benar mahukan penyelesaian dua negara.

Beberapa tahap konflik, sesuai bagi mereka. Semua kekal berkuasa dengan memanipulasi isu Palestin dalam konspirasi tersirat, di mana rakyat biasa Palestin menanggung akibatnya.

Adakah Fatah dalam kesedihan yang mendalam kerana kepimpinan Hamas menjadi sasaran Israel? Pada 2007, Hamas merampas Gaza, dalam rampasan kuasa di mana ramai pegawai Fatah dibunuh dengan kejam.

Sama ada Fatah atau Hamas, kedaulatan penuh bermakna tanggungjawab penuh.

Beberapa tahun lalu, saya melawat Tebing Barat untuk bertemu rakan Palestin yang pernah menjadi anggota kanan Pihak Berkuasa Palestin, tetapi beliau baru meletakkan jawatan.

Mengapa, saya bertanya? Kita telah gagal dalam kedua-dua perjuangan dan dalam pemerintahan, jawabnya.

Dengan kedaulatan penuh, Palestin tidak lagi menjadi terkenal dalam kalangan antarabangsa, dan menjadi sebuah lagi negara Dunia Ketiga yang korup dan ditadbir dengan teruk. Tanpa alasan tekanan Israel, simpati dan bantuan antarabangsa akan segera pupus.

Walaupun Fatah menggantikan Hamas di Gaza selepas perang, realiti sebenar ini tidak akan berubah. Fatah perlu cepat belajar mentadbir dengan jujur dan cekap.

Saya tidak mengatakan bahawa ini mustahil, tetapi ia sudah tentu bertentangan dengan rekod buruk Fatah di Tebing Barat, sejak Penguasa Palestine ditubuhkan pada 1994.

Saya ragu bahawa pemerintah berhaluan kanan tegar Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, akan bertahan pada 7 Oktober.

Tetapi walaupun ia digantikan oleh pemerintah yang tidak ekstremis, kita tidak seharusnya mengandaikan yang Israel akan menyokong cadangan penyelesaian dua negara.

Saya terpegun dengan bagaimana 7 Oktober telah mencondongkan sikap politik dalam kalangan rakan-rakan Israel saya, terutamanya mereka yang berhaluan kiri dan menyokong penyelesaian dua negara.

Kita hanya boleh berharap bahawa ini bukan syarat yang kekal.

Palestin gadai
politik serantau

Akhir sekali, rakyat Singapura harus memahami konteks geopolitik yang lebih luas mengenai isu Palestin.

Pencerobohan Amerika ke atas Iraq pada 2003, dan pemusnahan rejim Ba’ath Saddam Hussein, adalah satu kesilapan strategik yang memusnahkan satu-satunya keseimbangan serantau kepada Iran.

Ini mewujudkan ketidakstabilan geopolitik asas di tengah-tengah Timur Tengah.

Sejak itu, menangani ketidakseimbangan ini dan bukan Palestin, telah menjadi kebimbangan strategik utama kebanyakan pemerintah Arab Sunni, khususnya monarki Teluk, dengan pengecualian sebahagian daripada Qatar dan Oman.

Selepas tiga peperangan yang gagal menentang Israel, dan dengan Mesir dan Jordan mengiktiraf Israel, semangat untuk perjuangan Palestin dalam kalangan kebanyakan pemerintah Arab telah, dalam apa jua keadaan, berkurangan, kerana mereka semakin melihat kepada kepentingan negara mereka sendiri.

Protes Arab Spring 2011 mengalihkan perhatian monarki Teluk lebih jauh ke arah isu yang jauh lebih penting tentang kelangsungan rejim. Perjanjian Abraham 2020 menandakan peminggiran rasmi isu Palestin.

Bagi Iran, Palestin adalah cara utama untuk memberi tekanan ke atas Israel dan memalukan pemerintah Arab Sunni.

Rakyat Palestin tahu semua ini. Serangan pengganas 7 Oktober dan serangan berskala kecil yang lebih awal ke atas Israel, adalah percubaan Hamas dan kumpulan serupa untuk memeriksa proses peminggiran ini.

Serangan 7 Oktober – yang dicetuskan oleh kemajuan yang lebih pantas daripada jangkaan dalam perbincangan mengenai pemulihan hubungan Arab Saudi dengan Israel – berjaya meletakkan perjuangan Palestin kembali di peringkat utama – buat masa ini. Kesannya mungkin hanya sementara.

Perjanjian Abraham, sebenarnya, gabungan anti-Iran tajaan Amerika, di mana Israel memberikan kekuatan tentera dan pencegahan keseluruhan Amerika terhadap Iran sebagai pengimbang luar pesisir.

Ini amat ketara dilihat baru-baru ini, apabila dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika dan sebuah kapal selam nuklear, ditempatkan di rantau ini.

Memandangkan keadaan geopolitik yang membawa kepada Perjanjian Abraham tidak berubah, lambat-laun, proses normalisasi Saudi-Israel akan disambung semula. Ia ditangguhkan tetapi tidak akan dialihkan gara-gara kejadian 7 Oktober.

Hamas adalah cabang Ikhwanul Muslimin Mesir, yang merupakan kutukan kepada Arab Saudi, UAE dan kebanyakan monarki Teluk dan tentera Mesir.

Saya meragui jika ada sesiapa di Riyadh, Abu Dhabi atau Kahirah, yang tidak dapat melelapkan mata kerana kepimpinan Hamas dilenyapkan.

Tiada negara yang menarik diri daripada Perjanjian Abraham ke atas Gaza.

Korban orang awam terutamanya, adalah masalah politik domestik yang mesti diuruskan oleh pemerintah ini dan kenyataan serta kedudukan mereka dalam PBB harus dilihat dari segi ini.

Semasa menulis rencana ini – pada 8 November 2023 – nampaknya tidak mungkin konflik semasa di Gaza akan menular menjadi perang serantau yang lebih luas.

Pertukaran tembakan antara Hezbollah dengan Israel di bahagian utara, telah menyebabkan korban yang agak sedikit di kedua-dua belah pihak dan Hezbollah nampaknya lebih berminat menunjukkan perpaduan dengan Hamas daripada memberikan sokongan sebenar.

Iran sendiri mempunyai masalah dalaman dan tidak mungkin mahu menambah lagi masalah dengan mencetuskan perang besar di mana ia tidak boleh kekal terlibat.

Saya yakin lambat-laun, akan berlaku perang besar di Timur Tengah. Tetapi perang besar itu akan diperjuangkan kerana keupayaan nuklear Iran dan bukan Palestin, yang sememangnya tidak cukup penting untuk mana-mana pemain utama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >