Hakim Hawaii halang pelaksanaan larangan perjalanan baru Trump

HONOLULU/NEW YORK: Hanya beberapa jam sebelum larangan perjalanan yang disemak semula Presiden Donald Trump berkuat kuasa, seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat di Hawaii mengeluarkan perintah darurat menghalang pelaksanaannya, pada Rabu (15 Mac).

Keputusan hakim itu tamparan undang-undang terbaru terhadap usaha pentadbiran Trump melarang sementara pelarian dan rakyat dari enam negara Islam memasuki Amerika.

Larangan baru itu, yang ditandatangani Presiden Trump dalam arahan eksekutif baru pada 6 Mac, bertujuan mengatasi masalah pada arahan eksekutif pertama, yang dikeluarkannya Januari lalu, yang menyebabkan huru-hara di lapangan terbang dan mencetuskan bantahan besar-besaran sebelum seorang hakim Washington menghentikan penguatkuasaannya pada Februari.

Hakim Daerah Derrick Watson menghentikan pelaksanaan larangan baru itu sebagai respons kepada tuntutan mahkamah yang difailkan oleh negeri Hawaii, yang berhujah arahan tersebut mendiskriminasi terhadap orang Islam, sesuatu yang melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat.

Encik Trump berkata dasar itu penting bagi keselamatan negara dan tidak mendiskriminasi sembarang agama.

Nasmun Hakim Watson membuat kesimpulan dalam keputusannya bahawa walaupun arahan itu tidak menyebut Islam, "pemerhati munasabah, objektif... akan membuat kesimpulan bahawa Arahan Eksekutif itu dikeluarkan dengan tujuan tidak menyenangi satu agama tertentu".

Sementara itu dalam responsnya, Encik Trump berkata keputusan hakim itu merupakan "tindakan melebihi kuasa kehakiman yang belum pernah berlaku sebelum ini", dan beliau akan membawa kes itu "sejauh boleh", termasuk ke Mahkamah Agung.

Keputusan Hakim Watson hanya sementara sehingga hujah lebih luas kes itu dapat didengar. Beliau menetapkan perbicaraan dipercepat bagi menentukan apakah keputusan itu harus dilanjutkan.

Kes itu salah satu daripada beberapa yang sedang melalui mahkamah Amerika pada Rabu, yang difail oleh peguam negara dan kumpulan penyokong pendatang.

Ini termasuk Washington, California, Maryland, Massachusetts, New York and Oregon, selain pelbagai kumpulan dan syarikat. - Reuters