JAKARTA: Badan antirasuah Indonesia menahan seorang hakim Mahkamah Agung kerana didakwa terbabit dalam skandal rasuah, salah seorang majistret paling berprofil tinggi yang berdepan siasatan jenayah itu.
Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dalam satu sidang media, berkata Hakim Sudrajad Dimyati ditahan selepas melaporkan diri secara sukarela kepada agensi itu, semalam.
KPK menahan enam suspek lain yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan nilai 2.2 bilion rupiah ($208,224) untuk mendapatkan keputusan yang memihak bagi kes rayuan oleh koperasi pemberi pinjaman yang berdepan masalah insolvensi.
Pengerusi KPK, Encik Firli Bahuri, sebelum ini secara terbuka menggesa Sudrajad dan tiga yang lain supaya menyerah diri.
Bagaimanapun, Sudrajad tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan untuk mengulas dakwaan itu.
Pegawai Jabatan Pengawasan Mahkamah Agung, Encik Zahrul Rabain, berkata Sudrajad akan digantung tugas, namun tidak menyatakan berapa lama tempohnya.
Encik Firli berkata, KPK melakukan serbuan di Jakarta dan Semarang pada minggu ini dan menahan enam individu serta merampas wang tunai hampir AS$148,000 ($211,688) di rumah seorang pegawai Mahkamah Agung, majoritinya dalam mata wang dolar Singapura dengan sebahagiannya disembunyikan dalam ruang kosong dalam kamus. - Reuters.