Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir 26,000 pesakit di hospital Perancis
Hampir 26,000 pesakit di hospital Perancis
PARIS: Jumlah pesakit Covid-19 di hospital Perancis meningkat sebanyak 888 kepada 25,775 orang - kenaikan sehari terbesar sejak awal November 2020 - sebelum kempen vaksinasi negara di Eropah itu bermula.
Kali terakhir jumlah pesakit Covid-19 melebihi 25,000 orang di hospital ialah pada 17 Disember 2020.
Data kementerian kesihatan kelmarin juga menunjukkan bilangan pesakit Covid-19 di unit jagaan rapi (ICU) meningkat 61 kepada 3,913 orang, selepas mendatar selama empat hari.
Institut Pasteur Perancis menyatakan minggu lalu bahawa ia menjangka kemuncak jangkitan varian Omicron Covid-19 baru pada pertengahan Januari, diikuti kemuncak kemasukan ke hospital pada separuh kedua bulan ini.
Pada masa sama, kementerian itu melaporkan lebih 278,000 jangkitan baru pada Ahad lalu, iaitu penurunan sebanyak 6 peratus berbanding minggu sebelumnya dan kemerosotan minggu ke minggu buat kali pertama tahun ini.
Pada Ahad lalu, purata tujuh hari jangkitan baru berkurangan kepada 294,452, selepas mencatat rekod tertinggi lebih 297,000 pada Sabtu.
Ini merupakan kemerosotan kali pertama sejak pertengahan November, apabila purata jangkitan baru sekitar 10,000 sehari.
Kelmarin, kementerian kesihatan Perancis turut melaporkan 102,144 kes baru, dengan purata tujuh hari sekali lagi meningkat sedikit kepada 295,631.
Ia juga melaporkan 296 kematian baru, menjadikan korban Covid-19 negara itu berjumlah 127,263.
Pada Ahad lalu, Parlimen Perancis meluluskan langkah terbaru pemerintah untuk menangani Covid-19, termasuk satu pas vaksin, yang dibantah penunjuk perasaan antivaksin.
Undang-undang baru itu, yang melalui proses kelulusan sukar di Parlimen dengan parti pembangkang menyatakan beberapa peruntukannya terlalu ketat, akan memerlukan orang ramai menunjukkan sijil vaksinasi bagi memasuki tempat awam seperti restoran, kafe, pawagam dan kereta api jarak jauh.
Sekarang, mereka yang tidak divaksinasi boleh memasuki tempat tersebut jika hasil ujian Covid-19 yang baru negatif.
Hampir 78 peratus penduduk Perancis telah diberi vaksin sepenuhnya, menurut kementerian kesihatan.
Sementara itu, kementerian sukan Perancis menyatakan pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic, boleh dihalang bermain di Terbuka Perancis selepas kementerian itu menyatakan kelmarin tidak akan ada pengecualian undang-undang berkaitan pas vaksin barunya itu.
Djokovic belum menerima vaksin Covid-19, dan diusir dari Australia Ahad lalu sebelum kejohanan Grand Slam pertama tahun ini, Terbuka Australia, selepas beliau kalah dalam kes mahkamah hingga visanya dibatalkan. - Reuters.