Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hampir 80% menteri kerajaan lama kekal dalam Kabinet baru M'sia

Pengamat: Ismail Sabri perlu sokongan parti yang sokongnya, mahu kesinambungan daripada kerajaan terdahulu
Aug 28, 2021 | 05:30 AM



TIDAK ada perubahan atau kejutan besar pada senarai anggota Kabinet baru Malaysia.



Walaupun ada spekulasi mengenai penamaan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menamakan sesiapa bagi mengambil jawatan beliau dalam Kabinet sebelum ini.



Saiz Kabinet baru juga hampir sama dengan Kabinet lama.



Keseluruhannya, terdapat 31 menteri dan 38 timbalan menteri - hampir sama dengan jumlah 70 menteri dan timbalan dalam Kabinet pentadbiran mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Hampir 80 peratus menteri dalam kerajaan terdahulu dikekalkan, di samping kemasukan beberapa muka baru dan ketiadaan beberapa penjawat sebelumnya.



Antara yang dikekalkan ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.



Kesemuanya dilantik sebagai Menteri Kanan dalam Kabinet baru.



Selain itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kekal sebagai Menteri Kewangan.



Dalam satu pos di Twitter, Datuk Azmin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ismail Sabri kerana memberi kepercayaan dan amanah buat beliau kekal memimpin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.



"Insya-Allah, saya terus komited untuk memastikan ekonomi akan terus mara di atas pertumbuhan mampan dan pemulihan yang lestari demi Keluarga Malaysia," ciapnya.



Datuk Hishammuddin pula berjanji akan melakukan yang terbaik.



Dalam satu pos di Facebooknya, beliau berkata: "Sentiasa bangga dan berbesar hati untuk berkhidmat demi warga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang sangat besar jasanya kepada negara.



"Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik. Saya akan pikul amanah ini sebaiknya."



Tengku Zafrul, menerusi perkongsian dalam Facebooknya, berkata pelantikan semula beliau ke dalam Kabinet baru adalah satu amanah sangat besar.



Mengulas mengenai Kabinet baru Malaysia itu, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata umumnya tidak banyak perubahan daripada Kabinet sebelumnya.



"Saiz Kabinet masih kelihatan besar, memandangkan PM Ismail Sabri perlukan sokongan daripada parti-parti yang menyokongnya.



"Menariknya, tidak ada timbalan perdana menteri, namun masih model sama, iaitu Menteri Kanan.



"Satu lagi yang menarik ialah portfolio kesihatan yang kini diberi kepada Khairy Jamaluddin, sebagai satu tanggungjawab besar demi menangani pandemik (Covid-19)," ujarnya kepada Berita Harian (BH).



Beliau juga tertarik akan kenyataan Datuk Ismal Sabri yang mahukan semua menteri menggalas tanggungjawab mereka dengan komited dan lebih proaktif dan memberi mereka tempoh 100 hari pertama untul membuktikan pencapaian awal masing-masing.



Pengamat politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Azmi Hassan, berkata tiadanya pelantikan timbalan perdana menteri mungkin kerana Datuk Ismail Sabri "mahu meredakan polemik tekanan perebutan ke atas jawatan itu".



Beliau berpendapat jawatan itu lambat laun akan diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandangkan mereka mempunyai kerusi kedua terbanyak selepas Umno dalam kalangan parti kerajaan sekarang.



"Cuma persoalannya siapa dalam Bersatu yang akan diberi jawatan itu. Walaupun ada dua tiga nama dikatakan agak senior, mereka dikatakan agak kontroversi, dan agak baik untuk dilengahkannya pelantikan itu.



"Lagipun, tiada keperluan mendesak bagi pelantikan itu memandangkan sudah ada empat menteri kanan," katanya kepada BH.



Mengenai tiada perubahan besar pada Kabinet baru itu, Profesor Azmi berkata ini mungkin kerana Datuk Ismail Sabri mahu melihat kesinambungan daripada kerajaan terdahulu, dengan beberapa penambahbaikan melalui beberapa pertukaran portfolio.



"Ini juga mungkin kerana terdapat tekanan politik dalaman yang sentiasa ada, baik dalam Umno sendiri mahupun parti lain dalam kerajaan," ujarnya.




"Saiz Kabinet masih kelihatan besar, memandangkan PM Ismail Sabri perlukan sokongan daripada parti-parti yang menyokongnya. Menariknya, tidak ada timbalan perdana menteri, namun masih model sama, iaitu Menteri Kanan."
- Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak.



"Ini juga mungkin kerana (selain mahupun kesinambungan) terdapat tekanan politik dalaman yang sentiasa ada, baik dalam Umno sendiri mahupun parti lain dalam kerajaan."
- Profesor Azmi Hassan, daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengenai alasan tiada perubahan besar pada Kabinet baru Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >