Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir 9,000 pesakit ginjal baru di M'sia setiap hari

May 22, 2023 | 5:30 AM
7f5dfd8d-f2f4-49fa-8e43-1be5d6b68fde
-

PETALING JAYA: Hampir 9,000 pesakit ginjal baru didaftarkan setiap tahun, dan mereka memerlukan rawatan dialisis, kata Kementerian Kesihatan Malaysia.

Prevalens Penyakit Ginjal Kronik (CKD) di Malaysia telah meningkat, katanya.

"Di Malaysia, daripada 33 juta penduduk, seorang dalam setiap tujuh orang mempunyai pelbagai peringkat CKD.

"Data awal Pejabat Pendaftaran Renal Kebangsaan (NRR) menunjukkan terdapat 49,447 pesakit dialisis di Malaysia tahun lepas," kata kementerian itu dalam satu kenyataan kepada The Star.

Kementerian berkata, pengambilan produk suplemen kesihatan yang tidak berdaftar adalah antara faktor penyumbang kepada penyakit ginjal.

"Dari Januari 2018 hingga Disember 2022, Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) menerima 67 laporan kejadian buruk berkaitan fungsi buah pinggang yang disyaki berpunca daripada pengambilan suplemen kesihatan.

"Daripada jumlah itu, 14 disyaki berpunca daripada penggunaan suplemen kesihatan yang tidak berdaftar.

"Kejadian buruk yang paling kerap dilaporkan ialah kecederaan buah pinggang akut, peningkatan kreatina darah dan kegagalan buah pinggang kronik akut," katanya.

Dari 2020 hingga Mac tahun ini, kementerian merampas 30,209 produk pelangsingan badan yang dijual dalam talian, bernilai hampir RM1.27 juta ($376,201).

Melalui pelbagai usaha, kementerian juga telah mengawal dan memantau penjualan makanan tambahan tidak terkawal di media sosial.

Kementerian telah bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dan sektor swasta, termasuk penyedia wadah e-dagang, platform media sosial dan industri perkhidmatan berasaskan Internet di dalam dan di luar Malaysia, untuk memerangi penjualan produk tidak dikawal.

"Sejak 2020 hingga Mac 2023, sebanyak 1,345 iklan berkaitan produk penurunan berat badan atau pelangsingan badan yang disyaki melanggar Akta Ubat (Iklan dan Jualan) telah disaring.

"Daripada jumlah iklan yang ditayang, lima didapati mempromosikan produk yang mengandungi 2,4-Dinitrophenol (DNP)," tambahnya.

DNP, yang diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun, adalah sebatian organik yang biasanya digunakan dalam industri pengilangan sebagai bahan kimia industri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg