Hanoi tangguh gelembung pelancongan buka semula pulau Phu Quoc
HANOI: Vietnam menanguhkan rancangan gelembung pelancongan membuka semula pulau peranginan Phu Quoc kepada pelancong asing hingga November ini.
Menurut laporan media negara itu, ia terpaksa dilakukan berikutan gagal mencapai sasaran kadar imuniti kelompok akibat kekurangan bekalan vaksin.
Pihak berkuasa negara itu pada awalnya merancang membenarkan pelancong asing yang sudah lengkap vaksin mengunjungi pulau Phu Quoc bermula bulan depan, bagi menghidupkan semula sektor pelancongan dan merancakkan kembali ekonomi.
Vietnam yang ketika ini masih menutup sempadan kepada semua pengunjung kecuali warga negara dan pelabur, bergelut untuk mempercepat kempen vaksinasi bagi membantu membendung kenaikan kes Covid-19 yang disebabkan oleh varian Delta dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada minggu lalu, pulau itu memerlukan 250,000 hingga 300,000 dos tambahan untuk mencapai imuniti kelompok. - Agensi berita.
Kes harian Korea S pertama kali cecah 3,000
SEOUL: Kes harian Covid-19 Korea Selatan mencapai 3,000 buat pertama kalinya semalam selepas penularan yang didorong cuti selama tiga hari minggu ini.
Korea Selatan mencatatkan 3,273 kes Covid-19 kelmarin, sehari selepas mencapai paras rekod, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) semalam.
Daripada kes-kes baru - 3,245 merupakan kes tempatan dan 28 merupakan kes import, membawa jumlah keseluruhan jangkitan kepada 298,402 kes dengan 2,441 kematian.
Lebih 77 peratus jangkitan tempatan berlaku di Seoul dan kawasan kejiranan ibu kota, yang menempatkan separuh daripada sekitar 52 juta penduduk Korea Selatan.
Kadar kematian dan kes jangkitan serius kekal rendah iaitu masing-masing sebanyak 0.82 peratus dan 339 jangkitan serius.
Ia rendah kerana Korea Selatan mengutamakan vaksinasi bagi warga emas yang menghadapi risiko kesan Covid-19 yang lebih teruk, sekiranya dijangkiti. - Reuters.
Rumah Putih arah kontraktor federal wajib dapatkan vaksinasi
WASHINGTON: Rumah Putih berkata berjuta-juta kontraktor federal mesti dapatkan vaksinasi Covid-19 menjelang 8 Disember dan pentadbiran Presiden Joe Biden akan menambah syarat bagi kontrak-kontrak pemerintah masa depan yang mewajibkan inokulasi.
Presiden Joe Biden telah menandatangani perintah eksekutif pada 9 September lalu yang mewajibkan vaksinasi, namun banyak syarikat-syarikat Amerika dengan kontrak federal menunggu panduan rasmi daripada Rumah Putih sebelum membuat keputusan.
Syarikat-syarikat penerbangan Amerika merupakan antara industri yang menunggu pengesahan, kerana kadangkala mereka memegang kontrak menjual tiket kepada pekerja pemerintah.
Encik Jason Miller, timbalan Pejabat Pengurusan Rumah Putih dan pengarah Bajet, berkata dalam catatan blognya bahawa "garis panduan itu mempunyai satu matlamat utama: memastikan lebih ramai dapatkan vaksinasi."
Encik Miller berkata dasar-dasar vaksinasi bagi kontraktor "akan kurangkan pekerja yang tidak datang kerja, kurangkan kos buruh, dan membaiki kecekapan kontraktor melakukan kerja untuk Pemerintah Persekutuan". - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg