SEJAK berpindah ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), sekitar lima tahun lalu, Encik Rosebi Mohd Sah, 64 tahun, giat menyumbang kepakarannya sebagai penulis dan penterjemah bebas.
Dengan pengalamannya sebagai wartawan media cetak dan penyiaran veteran selama 30 tahun sebelum berhijrah ke Dubai, beliau terlibat dengan pelbagai liputan termasuk berbentuk penyiasatan dan berbentuk 'scoop', atau yang pertama dilaporkan mengenai sesuatu berita berbanding wadah media lain.
Kini, beliau berbesar hati dapat kembali menyumbang kepada Berita Harian tentang pandangannya dan liputan tentang perkembangan terkini di Timur Tengah.
Semasa berkhidmat dengan akhbar ini dahulu, Encik Rosebi berkata isu bersangkutan masyarakat Melayu/Islam Singapura amat dekat di hatinya.
Malah, beliau pernah menyampaikan 'scoop' apabila berjaya mendapatkan wawancara eksklusif bersama Encik Goh Chok Tong pada Mei 2000, yang merupakan Perdana Menteri Singapura ketika itu, berhubung langkah mengecualikan sistem pendidikan madrasah daripada pendidikan wajib (CE) namun pelajar madrasah harus tetap menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Sudah lima tahun bermastautin di Dubai, Encik Rosebi kini ingin menyingkap perkembangan terkini dan menyorot pergolakan ekonomi, sosial, budaya dan politik di Timur Tengah supaya masyarakat Singapura dapat lebih peka dan memahami tentang pergolakan isu-isu ini di rantau itu.
"Saya mahu menyingkap perkembangan terkini dan menyorot pergolakan ekonomi, sosial, budaya dan politik yang tersurat dan yang tersirat di Timur Tengah dan cuba membuat masyarakat Singapura memahami isu-isu dan perkembangan tersebut dari kaca mata dan perspektif Timur Tengah." - Encik Rosebi Mohd Sah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg