Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:11
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Harapan temu anak kapal tentera Thai yang masih hidup makin tipis

Hanya seorang daripada sekumpulan 30 anggota yang hilang ditemui hidup selepas HTMS Sukhothai karam
Dec 22, 2022 | 05:30 AM



BANG SAPHAN (Thailand): Harapan pudar semalam dalam kalangan saudara mara anak kapal tentera Thailand yang masih hilang selepas kapal perang mereka karam di pantai di tengah negara itu, walaupun pasukan penyelamat yang diketuai tentera memperluaskan kawasan pencarian mereka.



Hanya seorang daripada sekumpulan 30 anggota tentera yang hilang ditemui hidup selepas HTMS Sukhothai karam lewat Ahad lalu selepas ombak setinggi 4 meter dan angin kencang menyebabkan air laut meresap ke dalam sistem elektrik kapal itu melalui paip ekzos.



Limpahan itu kemudian menyebabkan enjin kapal tidak berfungsi.



Kapal perang buatan Amerika Syarikat itu membawa 105 anggota tentera, kebanyakannya diselamatkan sebaik sahaja selepas ia karam, manakala yang lain terpaksa meninggalkan kapal tanpa jaket keselamatan dan hilang dalam laut yang bergelora.



Tentera laut dan udara menghantar lima buah pesawat, enam buah helikopter, dan sekurang-kurangnya empat kapal perang untuk mencari anak kapal yang hilang.



"Kami menjangkakan dapat menemui lebih ramai lagi (yang hilang) hari ini... Namun, kami tidak dapat meramalkan jika mereka yang ditemui masih hidup," kata jurucakap tentera laut, Laksamana Pogkrong Monthardpalin, kepada penyiar ThaiPBS, sambil menambah keadaan cuaca dan jarak penglihatan kini bertambah baik.



Kapal itu karam kira-kira 37 kilometer (km) dari pantai wilayah Prachuap Khiri Khan, dan pihak berkuasa semalam memperluaskan kawasan pencarian untuk meliputi 40km persegi (km2), kata Laksamana Pogkrong.



Tentera laut berkata di laman media sosial, Twitter bahawa usaha mencari tertumpu di kawasan di mana kelasi lain telah ditemui kelmarin.



Keluarga para mangsa menunggu berita di pusat penyelamat dan perasaan sedih menyelubungi tempat itu sedang pasukan penyelamat membawa mayat yang ditemui.



"Saya mahu mereka (tentera laut) menjaga semua askar seperti keluarga mereka sendiri. Saya tidak mahu melihat lagi kehilangan dalam kejadian seperti ini lagi," kata Cik Nawarat Phobat, kakak kepada seorang anak kapal yang sudah meninggal dunia.



Secara berasingan, terdapat juga kebimbangan bahawa kerosakan pada HTMS Sukhothai, yang telah beroperasi sejak 1987, boleh menyebabkan bahan apinya tumpah ke Teluk Thailand, kata Laksamana Pogkrong.



"Kami sedang memantau dengan teliti kawasan kapal dan setakat ini tiada kebocoran," katanya sambil menambah satu pasukan sedang dihimpun untuk menyelamatkan kapal tersebut.



Kemalangan berkaitan dengan pasukan tentera di Thailand biasanya melibatkan pesawat dan kejadian seperti ini jarang berlaku. Tentera laut Thailand telah kehilangan empat kapal perang, termasuk HTMS Sukhothai, dalam tempoh 116 tahun, sejak ia ditubuhkan. - Reuters.




"Kami menjangkakan dapat menemui lebih ramai lagi (yang hilang) hari ini... Namun, kami tidak dapat meramalkan jika mereka yang ditemui masih hidup."
- Laksamana Pogkrong Monthardpalin, jurucakap tentera laut Thailand.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >