PENARIKAN balik subsidi untuk minyak masak tulen berbotol yang bermula Jumaat lalu belum menampakkan kenaikan harga secara mendadak, tetapi pada masa yang sama minyak masak paket plastik yang bersubsidi amat sukar diperolehi pembeli.
Harga ayam dan telur ayam yang masih menerima subsidi kerajaan pula dijual dengan harga berbeza di pasaran bergantung kepada lokasi dan harga bekalan yang diterima oleh peniaga.
Bagaimanapun, rata-rata peniaga menjual ayam pada harga siling RM9.40 ($2.97) sekilogram, telur gred A 45 sen; gred B (43 sen) dan gred C (41 sen) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
Peniaga terutama di pasaraya atau pasaraya mega masih menjual minyak masak tulen berbotol pada harga lama sebelum penarikan balik subsidi bagi menghabiskan stok dan harga baru tanpa subsidi hanya akan diketahui beberapa hari lagi.
Berbeza pula dengan harga ayam yang dijual di pasaraya dan yang diniagakan di pasar basah atau pasar pagi. Kebanyakan pasaraya menjual ayam daging antara RM7.99 dengan RM8.50 di bawah harga siling manakala peniaga di pasar basah menjualnya dengan harga maksimum RM9.40 sekilogram.
Harga telur ayam pula kebanyakan pasar raya dijual dua sen lebih rendah daripada harga siling contohnya, gred C dijual pada 39 sen/biji, gred B 41sen/biji dan gred A 43sen/biji.
Menurut jurucakap Pasaraya Ganda di Selangor pihaknya menjual ayam daging RM8.50 sekilogram di bawah harga siling kerana pembekal menawarkan harga rendah sekaligus membolehkan pasaraya tersebut menjualnya dengan harga yang berpatutan.
"Harga harian yang kami tawarkan bergantung kepada harga harian daripada pembekal, contohnya semalam harga agak tinggi berbanding hari ini.
"Kami tahu sekiranya harga tinggi pembeli juga berkurangan, jadi kami mengambil jalan 'menang-menang' untuk semua pihak.
"Harga minyak masak tulen berbotol pula masih dengan harga lama sehinggalah stok habis. Kami belum tahu lagi harga baru yang bakal ditawarkan pembekal. Minyak masih paket plastik pula terhad dan seorang pelanggan hanya boleh membeli dua paket, '' katanya semasa ditanya di sini.
Peniaga ayam di pasar basah Bukit Sentosa Serendah, Selangor, Encik Awang Ahmat, pula terpaksa menjual ayam daging pada harga maksimum disebabkan harga pembekal yang agak tinggi selain kos penyediaan ayam daging tersebut.
"Harga yang kami jual tidak boleh disamakan dengan harga pasaraya kerana membeli ayam hidup yang perlu melalui proses penyembelihan dan pembersihan bulu ayam sebelum boleh dijual kepada pelanggan.
"Selain itu, ayam yang kami jual terjamin segar kerana pembeli boleh melihat sendiri proses penyembelihan dan pembersihan bulu ayam. Kami juga perlu menanggung kos menggaji pekerja dan kos penyelenggaraan lain, " katanya di sini.
Pada 29 Jun lepas, kerajaan memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam tetapi meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung mulai 1 Julai. Harga siling runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji).
Pada 21 Jun lepas, kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram (kg), bermula 1 Julai ini.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini berkata, harga siling runcit baru ayam standard RM9.40 sekilogram serta harga telur ayam bagi Semenanjung yang berkuat kuasa 1 Juali lalu akan dikekalkan untuk tempoh dua bulan.
Harga siling runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji, manakala gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) seperti diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Rabu lalu.
Harga siling runcit ayam dan telur ayam bagi Langkawi pula adalah RM10.90 sekilogram; Sabah (RM11 hingga RM11.30), Sarawak (RM9.80 hingga RM12.90) dan Labuan (RM11.30) berkuat kuasa untuk tempoh sama iaitu dua bulan.
Pelaksanaan harga siling baru ini melibatkan peruntukan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi pukal untuk ayam dan telur adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lepas.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, penetapan harga siling ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram dianggap memadai kepada penternak berikutan ia dimuktamadkan selepas proses libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk golongan berkenaan.
Katanya, harga siling terbabit juga wajar selepas kerajaan memberikan subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi setiap kilogram (kg) dengan keseluruhan jumlah subsidi ditanggung bermula hari ini hingga 31 Ogos sebanyak RM369 juta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg