Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga makanan global meningkat tahun lalu: FAO

Jan 8, 2023 | 5:30 AM
MENIKMATI APA YANG ADA: Penduduk setempat menikmati juadah di sebuah pusat bantuan kemanusiaan di Bakhmut, di daerah Donetsk, kelmarin sempena menyambut perayaan Krismas. Kenaikan harga tenaga dan baja yang berpunca daripada konflik berterusan antara Russia dengan Ukraine menyebabkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus ke atas harga makanan global pada 2022. - Foto AFP
MENIKMATI APA YANG ADA: Penduduk setempat menikmati juadah di sebuah pusat bantuan kemanusiaan di Bakhmut, di daerah Donetsk, kelmarin sempena menyambut perayaan Krismas. Kenaikan harga tenaga dan baja yang berpunca daripada konflik berterusan antara Russia dengan Ukraine menyebabkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus ke atas harga makanan global pada 2022. - Foto AFP -

ROME: Kenaikan harga tenaga dan baja yang berpunca daripada konflik berterusan antara Russia dengan Ukraine menyebabkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus ke atas harga makanan global pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Demikian menurut laporan terbaru Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

Subindeks yang direkodkan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan harga bijirin menokok 17.9 peratus daripada 2021, harga minyak sayuran meningkat 13.9 peratus, tenusu (19.6 peratus), daging (10.4 peratus) dan gula (4.7 peratus).

Penurunan bulan lalu sebahagian besarnya didorong oleh penyesuaian fungsi pasaran dengan gangguan pengedaran, peningkatan harga pengangkutan dan penurunan tahap permintaan yang berpunca daripada pertumbuhan lembab ekonomi global.

Harga bijian dan bijirin menunjukkan 1.9 peratus lebih rendah, harga daging 1.2 peratus lebih rendah, harga minyak sayuran menyusut 6.7 peratus, harga tenusu 1.1 peratus lebih tinggi dan harga gula 2.4 peratus lebih tinggi untuk bulan ke bulan pada Disember 2022.

FAO sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa kenaikan harga makanan mengancam keselamatan makanan global, terutama di negara miskin.

"Adalah penting untuk terus berwaspada dan mengekalkan fokus untuk mengurangkan ketakjaminan makanan makanan global memandangkan harga makanan dunia kekal pada paras tinggi dengan banyak makanan ruji menghampiri rekod tertinggi.

"Harga beras meningkat dan masih banyak risiko yang berkaitan dengan bekalan masa depan," kata Ketua Pakar Ekonomi FAO, Encik Maximo Torero, dalam satu kenyataan.

Sementara itu di London, inflasi makanan di kedai-kedai di Britain melonjak ke tahap tertinggi bulan lalu, dengan peruncit memberi amaran mengenai kenaikan harga sekali lagi, tahun ini.

Konsortium Perniagaan Runcit Britain (BRC), menyatakan bahawa inflasi makanan 'memecut' kepada 13.3 peratus pada Disember, daripada 12.4 peratus pada bulan sebelumnya, kenaikan paling tinggi menurut indeks harga, bermula pada 2005.

"2023 akan menjadi satu lagi tahun yang sukar bagi pengguna dan perniagaan, kerana inflasi tidak menunjukkan tanda amaran segera," kata ketua pegawai eksekutif BRC, Cik Helen Dickinson.

Beliau memberi contoh dengan merujuk kepada tekanan berterusan ekoran perang di Ukraine, yang mengakibatkan kenaikan kos makanan haiwan, baja dan tenaga.

Namun, pada keseluruhannya, inflasi di kedai-kedai di Britain turun pada Disember, pertama kali dalam masa setahun.

Penurunan harga secara keseluruhan, adalah disebabkan oleh peruncit yang banyak memberikan potongan harga menjelang perayaan Krismas, untuk mengalihkan lebihan inventori. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg