Harga minyak dunia lonjak lebih AS$100 setong dek konflik Asia Barat
Harga minyak dunia lonjak lebih AS$100 setong dek konflik Asia Barat
Trump: Kenaikan hanyalah “harga kecil untuk dibayar” demi keselamatan dunia
Harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 ($128) setong dan menghampiri AS$120 apabila konflik yang semakin memuncak di Asia Barat menjejaskan bekalan tenaga global serta mengganggu laluan penghantaran minyak utama dunia.
Penanda aras minyak global Brent, meningkat sehingga 29 peratus kepada AS$119.50 setong, lonjakan harian terbesar sejak April 2020.
Pada masa yang sama, penanda aras minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), melonjak kira-kira 31 peratus.
Kenaikan itu berlaku selepas beberapa negara yang merupakan pengeluar utama di Asia Barat, mula mengurangkan pengeluaran minyak, manakala laluan strategik Selat Hormuz hampir tidak dapat digunakan akibat konflik ketenteraan yang berterusan.
Selat Hormuz biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia.
Gangguan terhadap laluan tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa berjuta-juta tong minyak mentah dan gas asli cecair tidak dapat dihantar ke pasaran global.
Iraq dan Kuwait dilaporkan mula mengurangkan pengeluaran minyak, manakala Qatar sebelum ini mengurangkan bekalan gas asli cecair.
Penganalisis menjangka Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi mungkin turut terpaksa mengurangkan pengeluaran, sekiranya konflik berlarutan dan kapasiti penyimpanan minyak semakin terhad.
Keadaan ini dijangka menyebabkan harga bahan api kekal tinggi selama beberapa minggu atau bulan, walaupun konflik berakhir dalam masa terdekat.
Gangguan terhadap kemudahan tenaga, kerosakan infrastruktur serta risiko keselamatan terhadap kapal pengangkut minyak turut menyukarkan usaha menstabilkan bekalan global.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, bagaimanapun menolak kebimbangan mengenai lonjakan harga minyak dan menyifatkannya sebagai pengorbanan kecil bagi memastikan keselamatan dunia.
“Harga minyak jangka pendek yang meningkat ini adalah harga yang sangat kecil untuk dibayar demi keselamatan dan keamanan Amerika serta dunia,” katanya dalam kenyataan di platform Truth Social.
Beliau menegaskan bahawa harga minyak dijangka turun semula apabila ancaman program nuklear Iran berjaya dihapuskan.
Namun kenyataan itu mendapat kritikan daripada pemimpin Parti Demokrat di Senat Amerika, Encik Chuck Schumer.
Encik Schumer menggesa Rumah Putih mengeluarkan minyak daripada rizab petroleum strategik negara itu bagi menstabilkan pasaran.
“Presiden Trump perlu segera melepaskan bekalan minyak daripada rizab strategik untuk menenangkan pasaran dan mengurangkan kejutan harga yang kini dirasai oleh keluarga Amerika,” katanya.
Konflik di Asia Barat tidak menunjukkan tanda akan reda selepas serangan udara Amerika dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu.
Serangan tersebut telah menyasarkan pelbagai kemudahan strategik termasuk depoh minyak.
Pada 7 Mac lalu, Arab Saudi memintas dan memusnahkan beberapa dron yang menuju ke medan minyak Shaybah yang menghasilkan sekitar satu juta tong minyak sehari.
Kerajaan Saudi sebelum ini juga terpaksa menghentikan operasi di kilang penapisan Ras Tanura, yang merupakan yang terbesar di negara itu.
Bagi mengurangkan kesan gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz, Riyadh kini berusaha mengalihkan eksport minyak melalui pelabuhan di Laut Merah.
Kenaikan harga tenaga memberi kesan paling besar kepada negara Asia yang bergantung kepada import minyak dari Asia Barat.
Syarikat penapisan di Jepun, negara yang memperoleh lebih 90 peratus minyak mentahnya dari rantau tersebut, kini meminta kebenaran menggunakan rizab minyak negara.
Pemerintah China pula telah mengarahkan syarikat penapisan utama menghentikan eksport diesel dan petrol bagi memastikan bekalan domestik mencukupi.
Di Korea Selatan, pemerintah sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan had harga minyak buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Pasaran saham di rantau Asia Pasifik turut terjejas dengan ketara.
Indeks Nikkei 225 di Jepun merosot lebih 7 peratus pada awal dagangan, manakala indeks Hang Seng di Hong Kong turun lebih 3 peratus.
Indeks Kospi di Korea Selatan jatuh lebih 8 peratus sehingga mencetuskan penggantungan dagangan sementara selama 20 minit bagi mengelakkan penjualan panik.
Penganalisis dari ING Groep menjangka gangguan bekalan minyak boleh berlarutan sekurang-kurangnya empat minggu.
Ketua strategi komoditi bank tersebut di Singapura, Encik Warren Patterson, berkata konflik mungkin mengambil masa lama untuk diselesaikan.
“Senario ini tidak semestinya bermakna konflik akan tamat dalam tempoh tersebut, tetapi jika serangan Amerika dan Israel berjaya melemahkan kemampuan Iran mengganggu kapal di Selat Hormuz, aliran bekalan mungkin kembali stabil,” katanya.
Namun dalam senario paling buruk, bank itu menjangkakan gangguan bekalan tenaga boleh berlarutan sehingga tiga bulan.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan harga minyak melonjak ke paras rekod pada suku kedua 2026.
Pakar ekonomi dari Institut Peterson bagi Ekonomi Antarabangsa, Encik Adnan Mazarei, berkata kenaikan harga minyak sebenarnya sudah dijangka memandangkan beberapa negara Teluk telah menghentikan pengeluaran.
“Ramai kini menyedari bahawa konflik ini tidak akan berakhir dengan cepat,” katanya.
“Jika gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz berlarutan sehingga akhir bulan ini, harga minyak boleh melonjak melebihi AS$150 setong,” kata Encik Adnan. – Agensi berita.

